
Tindakan Exco Kedah, Dr Haim Hilman yang didakwa memperkecil usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan komunikasi telefon dengan beberapa pemimpin dunia disifatkan sebagai pandangan yang tidak mencerminkan realiti semasa serta bersifat dangkal.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pendekatan diplomasi masa kini menuntut tindakan lebih pantas dan komunikasi terus antara pemimpin negara, terutama dalam menghadapi krisis global yang semakin rumit.
“Dalam keadaan ratusan kapal dari pelbagai negara masih terkandas, hanya segelintir berjaya melepasi laluan dan Malaysia antara yang terawal hasil pendekatan strategik dan berkesan.
“Inilah bukti keupayaan Diplomasi MADANI mendahulukan keselamatan serta kepentingan negara.
“Janganlah kita memperlekeh dan memperkecil usaha diplomasi hanya demi politik sempit, sedangkan hasilnya memberi kesan langsung kepada keselamatan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Haim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra dilaporkan menyifatkan panggilan telefon Anwar kepada Perdana Menteri Iran sebagai perkara biasa yang tidak mempunyai keistimewaan.
Menurutnya, hubungan baik Malaysia dan Iran yang telah lama terjalin membolehkan komunikasi antara kedua-dua kerajaan berlaku secara rutin tanpa perlu diperbesarkan.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul menegaskan kenyataan itu gagal mengambil kira perubahan landskap diplomasi global yang kini lebih pantas dan bersifat langsung.

“Dalam keadaan ini, kepimpinan menuntut komunikasi langsung dan segera antara pemimpin dunia, bukan sekadar menunggu sidang rasmi.
“Sebagai contoh, Perdana Menteri sendiri telah menerima panggilan daripada Perdana Menteri Pakistan lebih awal sebelum tampil sebagai orang tengah rundingan AS–Iran, membuktikan diplomasi kini tangkas dan tidak terikat kepada kerangka formal.
“Malah, amalan ini bukan asing apabila pemimpin dunia berhubung terus bagi menyelaras respons dan meredakan ketegangan dengan segera,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pandangan Haim masih berasaskan pendekatan lama yang tidak lagi sesuai dengan situasi semasa.
“Dalam era teknologi, rakyat bukan lagi penonton tetapi pemegang taruh yang berhak mengetahui bagaimana kerajaan bertindak dalam melindungi ekonomi dan keselamatan negara,” katanya.
Sumber: FB KEADILAN Kedah


