
Pelakon Azar Azmi memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai dakwaan hutang RM15,000 yang dikaitkan dengan Abiejam, abang kepada pempengaruh dan usahawan Siti Jamumall.
Bagaimanapun, Azar menegaskan dia tidak pernah berniat untuk mengelak, sebaliknya tetap berpegang pada prinsip untuk menyelesaikan segala hutangnya.
“Seperti yang saya cakap, hutang memang perlu dibayar. Kalau boleh, saya nak selesaikan semuanya. Saya tak mahu berhutang walaupun satu sen.
“Kalau suatu hari nanti saya pergi dulu, biarlah semuanya dah selesai. Jadi sebelum itu, doakan saya dapat langsaikan semuanya,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Dalam masa sama, Azar memaklumkan dia tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak Abiejam kerana sudah lama terputus hubungan dengan dunia digital, kira-kira enam bulan.
“Saya memang tak terima apa-apa panggilan sebab nombor yang saya guna dah tak aktif. Enam bulan sebelum ini saya memang tak ada telefon. Sebelum itu pun, tak ramai yang ada nombor saya sebab saya tak kongsi dengan sesiapa.
“Akaun TikTok, Instagram semua pun saya tak log masuk. Saya memang tak berhubung dengan sesiapa. Jadi saya dengan dunia saya sendiri, saya memang tak tahu apa yang berlaku di luar. Kalau ada salah silap daripada saya, saya mohon maaf,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Azar berkata dia kini sudah menyedari isu tersebut dan berhasrat untuk menghubungi pihak terlibat bagi menyelesaikan perkara itu secara baik tanpa memanjangkan konflik.
“Sekarang saya dah tahu tentang perkara ini, jadi saya akan hubungi pihak berkenaan untuk kita duduk berbincang. Saya tak nak perkara ini berlarutan.
“Kita nak teruskan hidup, tak perlu pening kepala atau bermusuh. Benda yang boleh diselesaikan, kita selesaikan saja. Tak perlu susahkan diri.
“Mungkin dari pihak saya, ada kesilapan sebab saya tak jelaskan apa yang saya lalui. Bila perkara itu terjadi dalam hidup saya, yang saya sendiri tak pernah hadapi sebelum ini, saya jadi buntu, malu dan tak tahu macam mana nak uruskan.
“Tapi apa pun, perkara ini tetap perlu diselesaikan. Saya akan selesaikan,” tambahnya.

Terdahulu, Abiejam atau nama sebenarnya Mohd Khairul Nizam Wahiddin tampil membuat pendedahan dengan mendakwa Azar masih belum melunaskan hutang sebanyak RM15,000 sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, wang tersebut diberikan sebagai bantuan kepada Azar untuk memulakan perniagaan, termasuk penyediaan barangan serta sokongan bagi siaran langsung di platform media sosial.
Sumber: Gempak (Asyraf Roslan)






