Papagomo akui silap, fitnah terhadap Fahmi Fadzil tidak wajar.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan oleh Fahmi Fadzil terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo pada 2023 berhubung dakwaan kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor, akhirnya diselesaikan secara damai di Mahkamah Tinggi, pada Isnin.


Peguam Fahmi, Asheeq Ali Sethi Alivi memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan pertikaian tersebut.


Menurut kenyataan yang dipersetujui, ucapan Fahmi di Masjid Nurul Yaqin, Kuang pada 30 Julai 2023 bukanlah satu kempen politik atau mengandungi unsur politik, sebaliknya isu berkenaan timbul akibat salah faham yang tidak sepatutnya berlaku sejak awal.



Beliau turut menjelaskan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tambahan selain daripada kenyataan rasmi yang telah dipersetujui.


Bagaimanapun, kes saman melibatkan penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani akan diteruskan, dengan perbicaraan dijadualkan bermula esok. Fahmi dijangka tampil memberikan keterangan di mahkamah.


Dalam pada itu, Fahmi menzahirkan penghargaan kepada pasukan peguamnya atas usaha menyelesaikan dua daripada tiga kes yang difailkan, sekali gus membersihkan namanya daripada tuduhan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan berunsur fitnah.


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya di media sosial, selain berharap insiden tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak.



Sebelum ini, saman terhadap pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd Fauzan Madzlan berkaitan isu sama juga telah diselesaikan.


Fahmi memfailkan saman tersebut pada 5 September 2023 dengan mendakwa ketiga-tiga defendan menyebarkan kenyataan fitnah yang menuduh beliau menyalahgunakan masjid untuk tujuan kempen pilihan raya serta bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.


Menurutnya, kenyataan itu disiarkan melalui beberapa platform media sosial pada penghujung Julai hingga awal Ogos 2023, namun telah disahkan tidak benar apabila Majlis Agama Islam Selangor mengesahkan tiada ucapan berunsur politik disampaikan.



Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi serta perintah injunksi bagi menghalang penyebaran semula kenyataan fitnah tersebut.


Sumber : Sinar Harian