
500 lokasi ketenteraan dan strategik Israel serta Amerika Syarikat (AS) telah diserang dalam perang yang semakin memuncak, menurut kenyataan Iran.
Serangan balas Iran setakat ini menyasarkan 500 tapak yang dikaitkan dengan Israel dan AS di Asia Barat, kata Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) pada hari ketiga pertempuran.
“Sejak permulaan konflik, tentera berani angkatan bersenjata Iran telah menyerang 60 sasaran strategik serta 500 sasaran ketenteraan Amerika dan rejim Zionis (Israel),” menurut kenyataan IRGC pada Isnin.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa lebih 700 dron dan ratusan peluru berpandu telah dilancarkan setakat ini.
Tehran melancarkan beberapa gelombang peluru berpandu balistik dan dron sebagai tindak balas terhadap serangan bersama AS–Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari, yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta menyasarkan beberapa lokasi lain.
An explosion was seen in the UAE city of Ras Al Khaimah, as Iran continues its retaliatory strikes across the Gulf region pic.twitter.com/1pSkMiSGU5
— TRT World (@trtworld) March 2, 2026
Sebahagian serangan Iran menyasarkan Israel secara langsung, mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 kematian, termasuk insiden di Beit Shemesh dan kawasan berhampiran Baitulmaqdis (Jerusalem), selain menyebabkan ramai lagi cedera.
Iran juga menyerang aset dan pangkalan tentera AS di seluruh rantau berkenaan, mengakibatkan sekurang-kurangnya empat anggota perkhidmatan AS terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Negara-negara Teluk yang menempatkan tentera AS seperti Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan Oman turut berdepan serangan langsung peluru berpandu dan dron Iran ke atas tapak ketenteraan, awam serta infrastruktur.
United States Central Command (CENTCOM) pada Isnin memaklumkan bahawa 18 anggota tentera Amerika mengalami kecederaan serius sejak bermulanya operasi ketenteraan bersama AS–Israel terhadap Iran, menurut laporan CNN.
Jurucakapnya, Kapten Tim Hawkins, mengemas kini angka tersebut selepas pengesahan kematian keempat, iaitu seorang anggota yang meninggal dunia akibat kecederaan dialami ketika gelombang awal serangan balas Iran.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 555 orang dilaporkan terbunuh di seluruh Iran akibat serangan bersama AS–Israel yang melibatkan 131 daerah setakat ini, menurut Iranian Red Crescent Society.
Insiden paling maut berlaku di bandar Minab di tenggara Iran apabila satu serangan ke atas sebuah sekolah rendah perempuan mengorbankan 180 pelajar.
-TRTWORLD






