AS didakwa guna AI Anthropic Claude rancang serangan besar-besaran ke atas Iran


PENTAGON: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi ketenteraan dilaporkan memasuki dimensi baharu apabila Amerika Syarikat didakwa memanfaatkan model AI Claude yang dibangunkan oleh Anthropic untuk membantu merancang serangan besar terhadap Iran pada hujung minggu lalu.


Menurut laporan The Wall Street Journal, Markas Pemerintahan Tengah Amerika Syarikat (CENTCOM) menggunakan keupayaan analitik model tersebut bagi menjalankan penilaian perisikan, mengenal pasti sasaran berimpak tinggi serta mensimulasikan pelbagai kemungkinan senario pertempuran sebelum operasi dilancarkan.


Bagaimanapun, perkembangan itu berlaku di tengah ketegangan antara kerajaan AS dan Anthropic. Syarikat berkenaan sebelum ini dilabel sebagai “risiko rantaian bekalan” oleh pihak berkuasa selepas enggan membenarkan sistemnya digunakan untuk aplikasi kawalan senjata dan aktiviti intipan. Keputusan tersebut mencetuskan kritikan keras daripada Presiden Donald Trump.


Dalam kenyataan terdahulu, Trump memberi amaran bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk memaksa kerjasama di bawah Akta Pengeluaran Pertahanan sekiranya penggunaan teknologi berkenaan dianggap kritikal kepada keselamatan negara.


Berbeza dengan pendirian Anthropic, beberapa syarikat teknologi utama lain seperti Google, xAI dan OpenAI dilaporkan tidak mengenakan sekatan yang sama terhadap penggunaan model AI mereka dalam konteks ketenteraan.


Serangan yang didakwa dirancang dengan bantuan AI itu dilaporkan mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, bersama beberapa tokoh kanan negara berkenaan. Insiden tersebut sekali gus mencetuskan polemik antarabangsa mengenai implikasi etika, undang-undang dan kemanusiaan dalam penggunaan AI sebagai komponen strategik peperangan moden.

Sumber : AWANI