
Polemik membabitkan guru Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (P3K) separuh masa yang hanya menerima insentif sekitar RM15 sebulan di Kabupaten Sumedang terus mencetuskan perbincangan awam. Susulan itu, Dinas Pendidikan (Disdik) Sumedang tampil memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
Sebelum ini, seorang guru dikenali sebagai Fildzah Nur Amalina memuat naik sebuah video di media sosial yang memaparkan persoalan, “Kenapa mahu jadi guru sedangkan gajinya kecil?” berserta bukti penerimaan bayaran insentif berjumlah RM15.
Lebih mencetuskan perhatian, selepas potongan caruman BPJS Kesihatan, guru P3K separuh masa itu hanya menerima sekitar RM3.50 sahaja. Rentetan tularnya video tersebut, Kerajaan Kabupaten (Pemkab) Sumedang melalui Disdik segera memberikan kenyataan rasmi.
Kasubag Umum dan Kewangan Disdik Sumedang, Roni Rahmat, memaklumkan bahawa Fildzah tergolong dalam kategori R3, iaitu guru P3K separuh masa yang belum menerima pensijilan daripada Badan Kepegawaian Negara (BKN).

“Individu berkenaan berada dalam kategori R3 dan menerima insentif sekitar RM75 sebulan,” katanya kepada detikJabar pada Isnin (9 Februari 2026).
Roni tidak menafikan wujudnya guru P3K separuh masa yang hanya menerima insentif RM15, namun jumlah tersebut diberikan berdasarkan kategori tertentu.
Menurutnya, guru yang menerima insentif RM15 tergolong dalam kategori R4, iaitu guru yang belum tersenarai dalam pangkalan data BKN kerana tempoh perkhidmatan belum mencapai dua tahun seperti ditetapkan.
“Mereka yang menerima RM15 itu adalah kategori R4. Pada asalnya mereka tidak tersenarai dalam data BKN. Ketika itu, BKN membuka peluang kepada kerajaan daerah untuk mencalonkan guru bukan dalam pangkalan data, dengan syarat minimum dua tahun tempoh perkhidmatan,” jelasnya.
Tambah Roni, sebelum ini guru P3K separuh masa kategori R4 tidak menerima sebarang insentif daripada Pemkab Sumedang, sebaliknya memperoleh bayaran melalui Tunjangan Profesi Guru (TPG) atau elaun pensijilan sekitar RM600.
Namun, pada pertengahan 2025, Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat memaklumkan bahawa guru yang tidak menerima insentif daripada kerajaan daerah berisiko kehilangan bayaran TPG tersebut.
“Ketika itu berlaku kesepakatan bersama wakil guru honorer bahawa sekiranya tiada elaun daripada kerajaan daerah, bayaran TPG mereka tidak akan dikeluarkan, tanpa mengira jumlah elaun tersebut,” katanya.
Bagi mengelakkan kehilangan elaun TPG, Pemkab Sumedang kemudian mengadakan perbincangan dengan guru P3K separuh masa kategori R4 dan mencapai persetujuan sementara untuk memberikan insentif RM15.
“Insya-Allah, ke depan pihak kami akan mendapatkan penjelasan dan bantuan daripada kementerian,” ujar Roni.
Dalam perkembangan sama, Disdik Sumedang sedang berusaha menyusun semula peruntukan kewangan bagi menaikkan insentif guru P3K separuh masa daripada RM15 kepada RM75.
“Proses ini sedang berjalan supaya tiada lagi guru yang menerima RM15. Sasaran minimum ialah RM75 dan pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan daerah,” katanya.
Setakat ini, Disdik Sumedang merekodkan seramai 546 orang guru P3K separuh masa yang tergolong dalam kategori R4.
Sumber : Detiknews






