
Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara supaya mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah, termasuk kuil yang didirikan di atas tapak yang tidak mendapat kebenaran.
Menurut laporan Utusan Online, Anwar mengakui keputusan itu berpotensi mencetuskan kontroversi, namun menegaskan bahawa undang-undang negara mesti dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian.
“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita, tidak lagi mengizinkan pembinaan rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa PBT telah diberikan keizinan untuk bertindak bagi menyelesaikan isu berkenaan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
“Majlis bandaraya diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan kawasan yang bukan hak kuil, supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya lagi.
Akui bakal cetus kontroversi
Dalam ucapannya itu, Anwar turut mengakui langkah tersebut tidak akan disenangi semua pihak, namun menegaskan bahawa kerajaan perlu bertindak adil dan tegas.

Foto BERNAMA
“Saya tahu ini akan mengundang kontroversi. Sebab itu saya beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga,” katanya.
Menurut beliau, tindakan kerajaan bukan didorong oleh sentimen atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya berpaksikan kepada prinsip negara hukum.
“Kerja kami kerja negara. Ini negara hukum,” tegasnya.
Semua rumah ibadat tertakluk undang-undang
Anwar menekankan bahawa semua rumah ibadat tanpa mengira agama perlu mematuhi proses dan peraturan yang sama.
“Masjid yang dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga semua yang lain,” katanya.
Beliau turut menyeru agar sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat diselesaikan melalui rundingan dan saluran yang sah, bukannya dengan pergaduhan.
“Harus dicari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan. Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita jalan ikut undang-undang,” jelasnya.
Tiada kompromi binaan sewenang-wenangnya
Dalam masa sama, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pembinaan rumah ibadat yang dilakukan secara sewenang-wenangnya, khususnya di kawasan awam.
“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan di bawah pokok, di mana-mana sahaja. Ini mesti dibendung,” katanya.
Beliau turut membandingkan situasi itu dengan negara lain.
“Di negara lain pun, termasuk India dan China, pembinaan rumah ibadat hanya dibenarkan di tempat yang sah,” ujarnya.
Kes lama dinilai berasingan
Namun begitu, Anwar menjelaskan bahawa kes melibatkan rumah ibadat yang telah lama wujud akan dinilai secara berasingan.
“Kalau ada kes yang sudah wujud 200 tahun dan minta pertimbangan, itu kita nilai sebagai kes lain,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kewujudan lama tidak boleh dijadikan alasan untuk meluluskan semua binaan yang melanggar peraturan.
“Jangan guna alasan sudah lama wujud untuk wajib diluluskan. Takkan kalau ada 1,000 kuil yang tidak ikut kelulusan tanah, semua mahu dipertahankan?” katanya.
Bukan isu baharu
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran bukanlah perkara baharu dan telah lama menjadi dasar kerajaan sejak pentadbiran terdahulu.
“Ini bukan perkara baharu. Semua kerajaan sebelum ini, dari BN, PN, PH hingga sekarang, dasar kerajaan itu berterusan,” jelasnya.






