
Donald Trump dilihat berada dalam situasi yang semakin sukar. Konflik dengan Iran tidak berakhir sepantas yang dijangka. Semakin lama ia berlanjutan, semakin besar kos dan kerugian yang perlu ditanggung oleh Amerika Syarikat.
Dalam keadaan ini, Trump berisiko kehilangan kelebihan politiknya, manakala Iran yang terdesak dilihat kian bersedia untuk menghadapi peperangan berpanjangan.
Trump dikatakan terperangkap dalam konflik tersebut kerana beberapa kekangan utama.
Pertama, tentera Amerika tidak mampu menanggung jumlah korban yang tinggi. Sokongan rakyat terhadap peperangan semakin merosot, khususnya dalam kalangan penyokong gerakan “MAGA” yang berpandukan slogan “America First”.

Mereka melihat penglibatan dalam perang luar sebagai bertentangan dengan janji asal Trump.
Kedua, perang tidak boleh berlarutan terlalu lama memandangkan cabaran logistik dan bekalan persenjataan. Iran pula dikatakan belum menggunakan sepenuhnya keupayaan ketenteraan beratnya, namun sudah mampu menyebabkan kerosakan terhadap pangkalan, radar dan aset Amerika di Timur Tengah.
Ketiga, kedudukan kewangan kerajaan Amerika berada dalam tekanan, menjadikan konflik berpanjangan sebagai beban tambahan kepada ekonomi negara.
Selain itu, saiz dan kapasiti Iran menjadikannya bukan lawan yang mudah ditewaskan. Negara itu mampu bertahan dalam tempoh yang panjang serta memiliki keupayaan dron dan peluru berpandu yang memberi cabaran besar kepada kekuatan Amerika.
Iran juga dipercayai mendapat sokongan tidak langsung daripada kuasa besar seperti Rusia dan China, yang berkemungkinan tidak akan membiarkan Tehran tumbang dengan mudah.
Persoalan paling besar ialah apakah matlamat akhir ketenteraan Amerika. Jika matlamatnya adalah pertukaran rejim, ia bukan sesuatu yang mudah dicapai.
Penghapusan kepimpinan tertinggi atau komander tentera tidak semestinya menamatkan penentangan, kerana akan muncul generasi baharu yang menggantikan mereka dengan semangat nasionalisme yang sama.
Sekiranya mahu mencapai kemenangan secara menyeluruh melalui operasi darat, Amerika terpaksa menghantar tentera dalam jumlah besar, yang berpotensi menyebabkan peperangan berpanjangan dengan korban tinggi tanpa jaminan kejayaan.

Gambar 4 Askar AS yang Terkorban
Jika pilihan yang diambil adalah serangan besar-besaran, risiko tindak balas setara juga tidak dapat dielakkan.
Dalam keadaan ini, sebarang pengunduran atau kegagalan di pertengahan jalan boleh memberi kesan besar terhadap kedudukan politik Trump sendiri.
Sumber: Singgora Syburi






