
Pengasas dan Presiden AUF MBZ, Mahadi Badrul Zaman atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen yang sah.
Didakwa jalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen
Menurut laporan Sinar Harian, Mahadi, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, suami kepada penyanyi dan aktivis Heliza Helmi itu, selaku wakil kepada AUF MBZ Consortium PLT, didakwa menjalankan perniagaan sekuriti sedangkan syarikat berkenaan bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal serta tidak berdaftar sebagai entiti perniagaan sekuriti.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah villa di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang dibaca bersama Subseksyen 367(1) akta sama, dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta tersebut.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan denda sehingga RM10 juta, hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Tokoh kewangan Islam turut didakwa bersubahat
Dalam prosiding sama, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, 62, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen yang sah.
Tokoh kewangan Islam negara itu dilaporkan tenang sepanjang pertuduhan dibacakan dan memohon untuk dibicarakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Kes ini dijangka mendapat perhatian meluas memandangkan kedua-dua individu yang didakwa mempunyai profil tinggi dalam bidang masing-masing.
sumber : ohmymedia, Sinar harian






