
Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila hampir termakan skru yang ditemui dalam pulut panggang dibelinya di sebuah bazar Ramadan.
Menerusi perkongsian di TikTok, pengguna dikenali sebagai Affendy02 memaklumkan juadah tersebut dibeli untuk berbuka puasa. Namun suasana tenang bertukar cemas apabila beliau terasa objek keras ketika mengunyah makanan berkenaan.
“Aku nyaris tercekik skru waktu berbuka tadi. Nasib baik masa kunyah sempat tergigit dulu,” katanya dalam video tersebut.
Menurutnya, kejadian seumpama itu amat membimbangkan kerana sebelum ini pengguna sering mendengar kes makanan tercemar dengan dawai kokot, namun penemuan skru dianggap lebih berbahaya. Beliau turut mengingatkan peniaga supaya lebih teliti memeriksa makanan sebelum dijual bagi mengelakkan risiko kepada pelanggan.
Perkongsian itu pantas mengundang reaksi ramai. Rata-rata pengguna TikTok menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan kebersihan makanan di bazar Ramadan, sambil menyifatkan kecuaian sedemikian boleh mengundang kecederaan serius, khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas.
Tidak kurang juga yang tampil berkongsi pengalaman masing-masing membeli juadah berbuka yang didakwa basi atau tidak segar ketika hendak dimakan.
Sehingga kini, video berkenaan telah meraih ratusan ribu tontonan serta hampir 400 maklum balas, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat mengenai tahap kawalan kualiti makanan di bazar Ramadan.
Sumber : TV3






