
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa mendedahkan dalam satu wawancara bersama Axios bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk menghantar kapal induk kedua ke Timur Tengah sekiranya rundingan dengan Iran menemui jalan buntu.
“Sama ada kita capai perjanjian atau kita terpaksa buat sesuatu yang sangat keras seperti sebelum ini,” kata Trump.
Menurut beliau, armada ketenteraan AS kini sedang bergerak ke rantau tersebut dan satu lagi kapal induk mungkin akan dihantar tidak lama lagi.

“Kita ada armada yang sedang menuju ke sana dan satu lagi mungkin akan menyusul,” katanya sambil menambah bahawa beliau masih “memikirkan” langkah tersebut.
Trump turut mendakwa Iran kini benar-benar mahu mencapai perjanjian.
“Iran sangat mahu membuat perjanjian… Kali terakhir mereka tidak percaya saya benar-benar akan bertindak,” ujarnya, merujuk kepada rundingan sebelum tercetusnya perang 12 hari dengan ‘Israel’, di mana Amerika Syarikat menyerang tapak nuklear Iran.
Menurut Trump lagi, rundingan kali ini “sangat berbeza” dan menyifatkan ia sebagai “tidak perlu difikir panjang” bahawa sebarang perjanjian mesti merangkumi program nuklear Iran.
Perkembangan ini sekali lagi meningkatkan ketegangan di Timur Tengah.
Sumber : Royanews






