
Seorang guru lelaki seberat kira-kira 350 kilogram (kg) terpaksa dibantu anggota bomba selepas tidak mampu bergerak di rumahnya di Taman Sri Gemilan, Kuala Sungai Baru, awal pagi hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian berlaku sekitar jam 2.56 pagi apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima panggilan kecemasan berhubung keadaan mangsa.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah segera dikejarkan ke lokasi.
Sebaik tiba, bomba mendapati guru berusia 40 tahun itu berada dalam keadaan lemah di dalam bilik air dan langsung tidak mampu bergerak walaupun dibantu isterinya.
“Mangsa adalah pesakit obesiti dengan anggaran berat sekitar 350kg dan memerlukan bantuan khas anggota bomba untuk mengangkatnya keluar dari bilik air yang agak sempit,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi pemindahan tersebut yang mengambil masa kira-kira 20 minit.
Menurut Harian Metro lagi, mangsa terpaksa dibawa ke hospital menggunakan lori angkut bomba kerana keadaan fizikalnya yang tidak mengizinkan penggunaan ambulans biasa.
“Pasukan bomba mengambil masa agak lama kerana mangsa perlu ditenangkan akibat menahan sakit berpunca daripada jangkitan kuman pada kaki, selain turut menghidap asma,” katanya.
Isteri mangsa memaklumkan suaminya mengalami demam lebih seminggu dan berehat di rumah selepas diberikan cuti sakit. Keadaan itu menyebabkan mangsa kurang selera makan, sekali gus menjadi tidak bermaya dan tiada tenaga untuk bergerak.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kejadian ini sekali lagi membuka mata tentang cabaran kesihatan akibat obesiti, serta kepentingan mendapatkan rawatan awal sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Sumber : Hmetro






