
Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila sepanduk gergasi memaparkan keranda berselimut bendera Amerika Syarikat dan ‘Israel’ muncul di tengah bandar Tehran, lengkap dengan amaran keras: “Watch your soldiers” (Perhatikan askar kamu).
Menurut laporan Roya News, paparan itu menjadi antara ancaman terbuka paling jelas yang dikeluarkan Iran sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kempen sepanduk tersebut muncul ketika tentera Iran diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi, susulan laporan peningkatan kehadiran tentera laut AS di kawasan Teluk.
Panglima Tentera Darat Iran, Amir Hatami, memberi amaran keras bahawa sebarang serangan ke atas Iran akan dibalas serta-merta.

“Tentera Iran kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi. Semua pergerakan musuh sedang dipantau,” tegasnya.
Hatami turut memberi isyarat bahawa sebarang cubaan menukar penempatan tentera AS kepada tindakan ketenteraan sebenar akan menerima tindak balas pantas dan tegas.
Paparan sepanduk ini dilihat sebagai mesej berganda — bukan sahaja kepada rakyat Iran, tetapi juga kepada Amerika Syarikat dan ‘Israel’, bahawa Tehran bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Situasi ini berlaku selepas beberapa insiden mencetuskan tanda tanya, termasuk letupan misteri di Bandar Abbas, walaupun Iran menafikan ia melibatkan cubaan pembunuhan pegawai IRGC.
Penganalisis percaya Iran kini menggunakan mesej visual di ruang awam sebagai senjata psikologi — satu amaran jelas bahawa sebarang provokasi mungkin membawa padah besar.
Persoalannya kini, adakah ini sekadar perang saraf… atau petanda sesuatu yang lebih besar bakal berlaku?
Sumber : Roya News






