
Washington: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa Iran kini sedang mempergiat usaha membangunkan peluru berpandu jarak jauh yang berpotensi mengancam Amerika Syarikat (AS).
Dalam ucapan Negara Kesatuan yang disampaikan Selasa lalu, Trump berkata Tehran bukan sahaja memiliki keupayaan peluru berpandu yang boleh mengancam Eropah dan pangkalan tentera AS di luar negara, malah sedang berusaha menghasilkan peluru berpandu yang mampu sampai ke bumi AS dalam masa terdekat.
Menurut laporan Agensi Perisikan Pertahanan AS pada 2025, Iran berpotensi membangunkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang berdaya guna secara ketenteraan menjelang 2035, sekiranya negara itu memutuskan untuk meneruskan pembangunan keupayaan tersebut. Bagaimanapun, agensi itu tidak mengesahkan sama ada Tehran telah membuat keputusan muktamad ke arah itu.
Ketika ini, Iran dilaporkan memiliki peluru berpandu balistik jarak pendek dan sederhana dengan kemampuan jarak sehingga kira-kira 3,000 kilometer, berdasarkan maklumat Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS. Sebagai perbandingan, jarak antara hujung barat Iran dan AS melebihi 9,600 kilometer.

Dalam perkembangan berkaitan, Washington dan Tehran telah menyelesaikan dua pusingan rundingan bagi merangka perjanjian baharu berhubung program nuklear Iran, sebagai pengganti kepada perjanjian terdahulu yang dimeterai ketika pentadbiran pertama Trump.
AS secara konsisten menuntut Iran menghentikan sepenuhnya pengayaan uranium, selain mahu isu program peluru berpandu balistik dan sokongan Tehran terhadap kumpulan bersenjata serantau turut dimasukkan dalam rundingan. Namun, tuntutan itu ditolak oleh pihak Iran.

Pada masa sama, Trump meningkatkan kehadiran ketenteraan AS di Timur Tengah dengan mengerahkan dua kapal pengangkut pesawat bersama lebih sedozen kapal lain, selain pesawat pejuang dan aset ketenteraan tambahan.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan terhadap Iran tidak diketepikan sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan baharu.
Rundingan antara kedua-dua pihak dijadualkan bersambung esok.
Sumber: Harian Metro






