
Berlindung di resort mewahnya, Mar-a-Lago di Florida, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mempamerkan pendekatan luar biasa bersahaja selepas mengumumkan pelancaran serangan ketenteraan besar-besaran terhadap Iran.
Berbeza dengan tradisi presiden terdahulu yang lazimnya menggunakan ucapan rasmi dari Pejabat Oval bagi mengumumkan tindakan ketenteraan luar negara, Trump memilih medium alternatif — sebuah video berdurasi lapan minit yang dimuat naik ke platform media sosial miliknya, Truth Social.
Video tersebut dimuat naik pada jam 2.30 pagi Sabtu, memaparkan beliau berdiri di podium sambil mengenakan topi besbol putih. Rakaman itu menjadi paparan terakhir dunia terhadap ketua negara berkenaan sehingga satu lagi video disiarkan lewat petang Ahad.
Dalam penerbangan pulang ke Washington menaiki Air Force One, Trump yang kebiasaannya lantang berinteraksi dengan media memilih untuk berdiam diri. Beliau enggan menjawab sebarang pertanyaan wartawan, termasuk daripada agensi berita AFP. Tiada sidang media diadakan untuk menjelaskan rasional tindakan ketenteraan tersebut kepada rakyat Amerika.
Kenyataan awam pertama beliau selepas serangan itu hanya dibuat sejurus tiba di White House — namun ia tidak menyentuh perkembangan konflik.
“Patung yang luar biasa, datang dan lihatlah,” ujar Republikan berusia 79 tahun itu sambil memuji dua arca baharu yang menghiasi Taman Mawar.
Mesej yang Bercanggah

Keseluruhan pentadbiran Trump turut mengambil pendekatan berprofil rendah sejak pelancaran Operasi “Epic Fury”, sekali gus mencetuskan persoalan tentang strategi komunikasi kerajaan dalam mempertahankan campur tangan terbesar AS di Timur Tengah dalam tempoh dua dekad.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pentagon mahupun Jabatan Negara. Malah, tiada anggota kabinet tampil dalam rancangan berita pagi Ahad untuk menjelaskan atau mempertahankan tindakan ketenteraan tersebut.
Maklumat terhad yang muncul hanya datang daripada beberapa temu bual telefon ringkas Trump dengan media tempatan pada Sabtu dan Ahad. Namun, kenyataan beliau didapati tidak konsisten.
Presiden itu memberikan gambaran berbeza mengenai matlamat akhir kempen udara bersama AS-Israel tersebut, termasuk isu perubahan kepimpinan di Tehran. Dalam satu wawancara, beliau menyatakan konflik mungkin berlarutan selama empat minggu; dalam wawancara lain, tempohnya disebut lima minggu.
Trump juga mendakwa mempunyai tiga calon berpotensi untuk memimpin Iran selepas kematian pemimpin tertingginya, sebelum kemudian menyatakan calon terbaiknya telah terbunuh.
Sebahagian besar wawancara tersebut berlangsung singkat — hanya beberapa minit. Bagi seorang presiden yang baru sahaja mencatat rekod ucapan terpanjang di Kongres minggu sebelumnya, pendekatan komunikasinya kali ini dilihat jauh lebih terkawal.
“Saya Kena Pergi Bekerja”
Pada Sabtu, White House menafikan laporan bahawa Trump akan menyampaikan ucapan rasmi secara langsung — suatu tradisi yang pernah dilakukan oleh Barack Obama ketika mengumumkan kematian Osama bin Laden pada 2011.
Obama ketika itu turut menyiarkan foto terkenal yang memperlihatkan beliau bersama pegawai kanan keselamatan negara di Situation Room, memantau operasi secara langsung.
Sebaliknya, Trump hanya mengedarkan gambar yang dirakam di Mar-a-Lago, menunjukkan beliau berada dalam bilik situasi sementara bersama pasukan keselamatan negara. Dalam imej tersebut, beliau kelihatan letih dan masih mengenakan topi besbol putih yang sama.
Walaupun tidak bermain golf sepanjang hujung minggu tersebut, Trump tetap menghadiri dua majlis makan malam kutipan dana Parti Republikan di kelabnya yang dihadiri penderma berprofil tinggi.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih mempertahankan kehadiran presiden itu dengan menyatakan bahawa majlis berkenaan “lebih penting daripada sebelumnya.”
Sebelum serangan dilancarkan pada Jumaat, Trump sempat singgah sebentar ke satu lagi majlis kutipan dana, menurut rakaman yang dimuat naik di Instagram.
“Berseronoklah semua,” katanya kepada tetamu sebelum beredar.
“Saya kena pergi bekerja.”
Sumber : Harian Metro






