
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, bahawa beliau tidak dapat mengesahkan secara terbuka maklumat sensitif yang sebelum ini telah dikongsi secara peribadi berkaitan siasatan kes serangan terhadap anak lelaki Rafizi.
Menurut laporan Free Malaysia Today Saifuddin menjelaskan pendedahan maklumat tersebut secara terbuka berpotensi menjejaskan siasatan, menyukarkan pihak berkuasa menjejaki suspek sebenar, selain membahayakan keselamatan saksi-saksi utama yang terlibat.
“Oleh itu, permintaan anda tidak dapat dipenuhi,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen semalam.
“Kementerian memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.”

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perkembangan yang boleh didedahkan kepada orang awam, tanpa menjejaskan siasatan, akan diumumkan melalui kenyataan rasmi kementerian atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa yang sesuai.
Rafizi sebelum ini meminta Saifuddin mengesahkan maklumat tertentu yang telah disampaikan kepadanya secara peribadi pada 1 Disember lalu, berkaitan dapatan siasatan terhadap individu yang dipercayai menjadi dalang serangan ke atas anaknya.
Insiden tersebut berlaku pada 13 Ogos, apabila anak lelaki Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun, diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 2 petang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan dua lelaki menaiki motosikal dipercayai mengekori kenderaan isteri Rafizi sebelum serangan berlaku. Mangsa dilaporkan diseret dan disuntik dengan jarum suntikan, sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut. Penyerang bagaimanapun berjaya melarikan diri.
Rafizi, yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, percaya serangan tersebut dirancang rapi, dan mendakwa isterinya mungkin telah diperhatikan oleh penyerang selama beberapa hari sebelum kejadian.
Beliau turut mendedahkan bahawa kejadian itu berkemungkinan ada kaitan dengan satu kes yang sedang disiasatnya, susulan pertemuannya dengan sekumpulan pemberi maklumat kira-kira seminggu sebelum serangan berlaku.
Lebih membimbangkan, Rafizi berkata isterinya turut menerima satu pesanan mesej berbunyi:
“Diam andai teruskan, AIDS.”
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, memaklumkan pada Oktober lalu bahawa pihak polis masih belum menerima laporan kimia berhubung cecair yang terdapat dalam jarum suntikan yang digunakan oleh penyerang.
Sumber : Free Malaysia Today






