Sampai bila pelakon badan besar hanya dapat watak tempelan ‘badut’?

norreen

Jika difikirkan semula, industri perfileman tempatan masih ketara kekurangan naskhah yang mengangkat watak utama wanita dengan variasi umur dan saiz tubuh badan.

Antara karya terdekat yang menampilkan representasi sedemikian ialah Tiga Janda Melawan Dunia pada 2022. Selebihnya, hampir tiada filem tempatan yang berani mengetengahkan wanita berbadan besar sebagai teraju utama. Situasi ini jelas berbeza dengan Hollywood yang lebih terbuka menampilkan pelakon bersaiz besar dalam pelbagai genre menerusi filem seperti Precious (2009), Spy (2015), Brittany Runs a Marathon (2019) dan Isn’t It Romantic (2019).

Menurut pelakon Norreen Iman, 32, sudah tiba masanya industri filem Malaysia memberi ruang lebih luas kepada pelakon berbadan besar untuk menggalas watak yang signifikan dan serius, bukan sekadar dijadikan watak sampingan atau elemen komedi semata-mata.

“Saya melihat bagaimana industri Hollywood menerima pelakon bersaiz besar tanpa mengira genre. Saya mahu menjadi sebahagian daripada perubahan itu.

“Sudah sampai masanya pelakon berbadan besar diberikan peranan utama, bukan hanya sebagai watak lawak atau kawan kepada protagonis. Kami mahukan karakter yang lebih berlapis dan bermakna,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Buat aksi sendiri

Pelakon Rindu Awak Separuh Nyawa itu bagaimanapun bersyukur apabila hasrat tersebut mula direalisasikan dengan adanya pengkarya dan syarikat produksi yang lebih menilai bakat berbanding penampilan fizikal. Terbaharu, Norreen diberi kepercayaan untuk memegang antara watak utama dalam filem arahan Zahir Omar berjudul Mikail Pemburu Dua Alam, sebuah naskhah bergenre aksi komedi seram.

foto BH norreen buat aksi

Foto Berita harian

Menurutnya, penglibatan dalam filem tersebut merupakan satu lonjakan besar dalam kerjayanya apabila dia tidak lagi berperanan sebagai pelengkap cerita, sebaliknya terlibat secara aktif dalam babak aksi yang mencabar fizikal.

Filem itu disifatkan mempunyai nuansa seakan Ghostbusters, namun diperkaya dengan elemen budaya tempatan yang kuat.

Apa yang lebih menarik, Norreen memilih untuk melakukan sendiri semua babak aksi tanpa menggunakan pelakon ganti. Katanya, kepuasan itu lebih bermakna apabila dia sendiri melalui cabaran fizikal demi memastikan watak yang dibawakan kelihatan realistik.

“Saya mengikuti kelas seni bela diri selama beberapa bulan sebagai persediaan. Babak berlawan, terjatuh, berguling dan melompat semuanya saya lakukan sendiri. Agak sukar untuk mencari ‘stunt double’ dengan saiz badan seperti saya.

“Memang badan terasa sakit, tetapi saya bangga kerana walaupun berbadan besar, saya masih mampu melakukan semua itu,” katanya.

Norreen turut bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius sepanjang penggambaran meskipun melakukan aksi berbahaya sendiri.

“Tiada kecederaan serius, cuma lenguh-lenguh badan dan sendi. Bila berbadan besar, adegan jatuh memang mencabar sebab tak boleh gunakan tilam, nanti nampak tak realistik.

“Tapi itu pilihan saya sendiri. Saya tak merungut kerana keselamatan sentiasa menjadi keutamaan pihak produksi.

“Saya mahu buktikan bahawa saya juga mampu beraksi. Saya tak mahu watak klise atau sekadar penyeri. Jika saya boleh, sesiapa pun boleh,” ujarnya.

Turun berat badan

Norreen turun berat badan

Dalam perkembangan lain, Norreen turut berkongsi sedang berusaha menurunkan berat badan sebagai persediaan untuk menimang cahaya mata ketiga.

Dia menyasarkan berat sekitar 85 kilogram berbanding berat asal 91 kilogram, namun masih mahu mengekalkan identiti sebagai wanita ‘plus-size’.

“Saya mengambil suplemen tambahan kerana belum sempat bersenam secara konsisten. Saya juga tak mahu rutin yang terlalu ekstrem sebab masih mahu kekalkan imej plus-size.

“Saya cuma mahu susut sedikit untuk tujuan kesihatan dan kehamilan. Saya nak hidup lama, jadi tubuh badan kena sihat,” katanya.

Sumber : Utusan