Rayuan Akhir Rosmah Ditangguh Atas Faktor Kesihatan

ROSMAH JATUH

Mahkamah Persekutuan pada Isnin membenarkan penangguhan pendengaran rayuan akhir melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor susulan masalah kesihatan yang dialaminya.


Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Nordin Hassan serta dianggotai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan itu selepas dimaklumkan bahawa Rosmah sedang bercuti sakit dari 24 hingga 28 Februari.


Peguamnya, Datuk Jagjit Singh, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mengalami kecederaan pada tangan dan lutut selepas tergelincir di rumah, namun sempat mengelak daripada terjatuh sepenuhnya. Menjawab pertanyaan mahkamah sama ada Rosmah dimasukkan ke hospital, beliau memaklumkan bahawa Rosmah dinasihatkan berbuat demikian tetapi memilih untuk tidak mendapatkan rawatan di hospital.


Hakim Azimah Omar bagaimanapun menegaskan bahawa sekiranya seseorang tidak dapat hadir ke mahkamah atas alasan kesihatan, individu tersebut sewajarnya mendapatkan rawatan di hospital dan bukan hanya berada di rumah.

Timbalan Pendakwa Raya K. Mangaiarkarasi memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan itu dan menyerahkan keputusan kepada budi bicara mahkamah.


Dalam prosiding sama, Jagjit turut memaklumkan bahawa beliau diarahkan oleh anak guamnya untuk memohon agar Hakim Nordin Hassan dan Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut, atas alasan kedua-duanya sebelum ini pernah mempengerusikan prosiding lain yang melibatkan Rosmah.


Hakim Nordin mempersoalkan asas permohonan berkenaan dan menegaskan bahawa tiada risiko berat sebelah hanya kerana pernah mendengar kes lain yang melibatkan individu sama. Panel hakim kemudian menolak permohonan tersebut selepas mendapati tiada asas kukuh untuk menyokong dakwaan berlakunya kemungkinan berat sebelah.


Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, sedang merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya agar Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.


Permohonan itu difailkan pada saat akhir sebelum keputusan disampaikan pada 1 September 2022. Dalam permohonan tersebut, Rosmah mendakwa draf penghakiman yang dikatakan disediakan oleh pihak ketiga telah dibocorkan sebelum keputusan rasmi diumumkan.


Pada tarikh sama, Rosmah, 74, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tambahan sehingga 30 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.


Beliau berdepan satu pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta serta dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.


Sumber: Bernama