Nurul Izzah: “Siasat Dakwaan Terhadap Azam Baki, Bukan Laporan Bloomberg”

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, menggesa pihak polis supaya memberi tumpuan kepada inti pati dakwaan pemilikan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, dan bukannya memfokuskan kepada proses penerbitan laporan oleh Bloomberg.

Beliau menegaskan, sekiranya wujud dakwaan, maka kandungan dakwaan itu perlu disiasat secara telus dan menyeluruh agar segala persoalan dapat dijawab dengan jelas kepada rakyat.

“Kalau ada dakwaan, siasat dakwaan tersebut. Jangan alihkan perhatian kepada bagaimana laporan itu diterbitkan. Rakyat mahu kebenaran terhadap isi kandungannya, bukan sekadar proses penerbitannya,” katanya dalam satu hantaran video pada Jumaat.

Menurutnya lagi, pendekatan sebegitu penting bagi memastikan institusi penguatkuasaan kekal diyakini serta berfungsi sebagai benteng integriti negara. Beliau turut mengingatkan agar tiada pihak cuba “menembak pembawa berita” sehingga isu pokok tidak ditangani secara adil.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memaklumkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan berhubung artikel yang diterbitkan Bloomberg, yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadap Azam. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Nurul Izzah turut menekankan bahawa ketelusan dalam menangani isu ini amat penting demi mengekalkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap sistem tadbir urus negara. Katanya, ketika Malaysia sedang berusaha memperkukuh ekonomi dan menarik pelaburan, integriti institusi awam mesti dipelihara.

Mengulas soal penggantungan, beliau berpandangan bahawa keutamaan kini ialah memastikan siasatan dilaksanakan secara adil, profesional dan tidak tergesa-gesa.

“Kita bukan hanya mahu merawat isu apabila ia timbul, tetapi juga mencegahnya daripada berulang. Seperti dalam perlawanan bola sepak ada pemantau pengadil, institusi besar juga perlu ada mekanisme semak dan imbang serta audit luaran yang berkesan,” ujarnya.

sumber : Sinar Harian