Nilai ringgit antara yang terbaik di asia, kestabilan politik serta keyakinan pelabur – PM

SEBERANG PERAI, — Nilai ringgit kini mencatatkan kedudukan antara mata wang terbaik di Asia, sekali gus menjadi petunjuk jelas bahawa keyakinan terhadap ekonomi Malaysia semakin pulih dan mengukuh.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika berucap pada majlis pelancaran Seberang Perai Aspire Centre atau SPACE, sebuah inisiatif Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP, yang bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan pemantauan keselamatan di Seberang Perai.

Menurut beliau, “pengukuhan ringgit bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada dasar ekonomi yang lebih tersusun, tatakelola yang berdisiplin, kestabilan politik yang semakin kukuh serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju Ekonomi MADANI”.

Beliau berkata, prestasi positif mata wang negara itu turut mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan MADANI dalam menjamin keamanan negara, memperkemas pentadbiran serta bertindak tegas membanteras rasuah dan penyelewengan tanpa kompromi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen kerajaan tempatan melalui penubuhan SPACE yang memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan, AI, selari dengan aspirasi bandar pintar serta penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan mesra rakyat.

Sumber: Facebook @Anwar Ibrahim