
Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan masih dalam proses melengkapkan pernyataan saksi melibatkan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika sesi pengurusan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa. Selain itu, beliau turut berhadapan tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta AMLA membabitkan jumlah RM200 juta, termasuk dana yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Menurut Wan Shaharuddin yang juga Ketua Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pernyataan saksi Tengku Zafrul masih belum dimuktamadkan. Namun katanya, kira-kira 99.5 peratus pernyataan saksi lain telah pun diserahkan kepada pihak pembelaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa senarai saksi yang bakal dipanggil memberi keterangan di mahkamah telah diserahkan, dan baki dokumen akan diberikan dua minggu sebelum perbicaraan bermula pada 9 Mac depan.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu mengesahkan pihaknya telah menerima sebahagian besar dokumen berkaitan.
Bagaimanapun, beliau berkata pembelaan masih belum menerima pernyataan saksi melibatkan ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, dan memohon pengesahan sama ada individu berkenaan akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan tersebut.
Sumber : Sinar Harian






