
Satu letupan mengejutkan dilaporkan berlaku di Bandar Abbas, sebuah bandar pelabuhan utama di selatan Iran, pada Sabtu, sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai.
Menurut laporan Reuters yang dipetik media rasmi dan separa rasmi Iran, letupan itu berlaku di sebuah bangunan kediaman, menyebabkan sebahagian struktur bangunan rosak dan beberapa kenderaan berhampiran turut mengalami kerosakan.
Susulan kejadian itu, pasukan penyelamat segera dikerahkan ke lokasi bagi memberi bantuan, manakala punca sebenar letupan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, agensi berita separa rasmi Tasnim tampil menepis khabar angin yang tular di media sosial, yang mendakwa insiden berkenaan menyasarkan seorang komander tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Tasnim menyifatkan dakwaan tersebut sebagai
“tidak benar sama sekali”.
Untuk makluman, Bandar Abbas terletak di Selat Hormuz, iaitu laluan strategik dunia yang menjadi nadi kepada perdagangan minyak global. Sebarang insiden keselamatan di kawasan ini lazimnya mendapat perhatian antarabangsa.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai punca letupan, dan pihak berkuasa Iran juga belum memberikan komen lanjut kepada Reuters.
Insiden ini berlaku ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat masih berlarutan, dengan Washington sebelum ini membincangkan penempatan ketenteraan di rantau berkenaan, selain Iran berdepan protes rakyat berkaitan tekanan ekonomi.
Dalam perkembangan berkaitan, dua pegawai ‘Israel’ memberitahu Reuters bahawa Israel tidak terlibat dalam letupan yang berlaku di Iran pada hari kejadian, sekali gus menambah tanda tanya mengenai dalang sebenar insiden tersebut.
Persoalannya kini, adakah ini sekadar kemalangan… atau petanda sesuatu yang lebih besar bakal berlaku?
Sumber : RoyaNews






