
Seorang lelaki yang sebelum ini hanya didenda RM5,500 kerana mencederakan seorang warga emas dalam insiden kemalangan di Jalan Cheras–Hulu Langat, kini berdepan hukuman lebih berat apabila Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadapnya.
Saiful Adli Yusof, 52, dijatuhi hukuman tersebut selepas Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Kajang bertarikh 10 Februari lalu yang hanya mengenakan denda. Mahkamah memutuskan bahawa hukuman terdahulu tidak memadai berdasarkan tahap keseriusan perbuatan tertuduh.

Dalam prosiding semakan, hakim menegaskan tindakan Saiful adalah tidak wajar dan membawa implikasi serius, khususnya terhadap mangsa yang sudah berusia. Mahkamah menggunakan peruntukan Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil semula dan menyemak keputusan kes tersebut.
“Keputusan denda oleh Mahkamah Majistret Kajang diketepikan. Kamu dihukum penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan, dan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini,” kata beliau.
Sebelum ini, Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman denda selepas Saiful mengaku bersalah atas dua pertuduhan, iaitu dengan sengaja mencederakan dan mengugut mahu membunuh mangsa, Liew Khoon Foo, 70 tahun.
Bagi pertuduhan pertama, Saiful yang merupakan seorang peniaga didakwa menumbuk serta menendang muka dan badan mangsa di Jalan Cheras–Hulu Langat, Batu 9, Cheras pada jam 4.05 petang, 8 Februari lalu. Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk menyebabkan kematian terhadap mangsa di lokasi dan waktu yang sama. Pertuduhan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Khoon Foo membacakan pernyataan impak mangsa dalam bahasa Mandarin. Beliau memaklumkan bahawa kejadian itu menyebabkan dirinya trauma, takut keluar rumah dan tidak lagi berani memandu. Akibat dipukul dan ditendang, mangsa menerima enam jahitan di lidah sehingga menyukarkannya untuk makan.
“Saya tidak berniat melanggar keretanya. Mungkin faktor usia menyebabkan kejadian itu berlaku. Saya takut dia berdendam dan mencari saya semula. Saya mohon hukuman yang setimpal dikenakan,” katanya di mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Syakir Haznal berhujah bahawa anak guamnya tidak terus menyerang mangsa, sebaliknya terlebih dahulu mengetuk pintu kenderaan dan cuba berbincang. Beliau turut menegaskan bahawa Saiful mengaku bersalah pada hari pertama prosiding di Kajang dan telah dikenakan denda yang tinggi ketika itu.
Saiful sendiri mengakui hilang pertimbangan selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire miliknya dilanggar. Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan bayi lelakinya yang baru berusia tiga hari terlepas daripada dukungan isterinya.
“Saya sudah membunyikan hon, tetapi dia terus memandu dan melanggar lampu isyarat,” katanya dari kandang tertuduh.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim menegaskan bahawa rakaman video yang tular jelas menunjukkan tertuduh bertindak agresif dengan menumbuk, menendang serta mengepit mangsa pada pintu kereta.
“Negara ini ada undang-undang. Tindakannya jelas menunjukkan perlakuan pembuli jalan raya yang bertindak mengikut emosi dan semberono. Saya mohon hukuman yang memberi pengajaran dan keinsafan,” katanya.
Dua minggu lalu, video berdurasi kira-kira satu minit tular di media sosial

memaparkan seorang lelaki memarahi dan menendang seorang warga emas di bahagian tempat duduk pemandu. Beberapa individu yang berada di lokasi kejadian dilihat cuba menenangkan suspek bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Sumber : Sinar harian






