
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpandangan peluang Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi untuk muncul sebagai Perdana Menteri seterusnya semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Menurut Khairy, landskap politik semasa yang menyaksikan beberapa parti berdepan perpecahan dalaman dan konflik kepimpinan memberi kelebihan strategik kepada UMNO yang ketika ini dilihat berada dalam keadaan lebih tersusun dan stabil.
“Saya rasa kemungkinan Ahmad Zahid boleh menjadi Perdana Menteri yang akan datang semakin cerah. The odds are shortening,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap.
Khairy, yang sebelum ini dipecat daripada UMNO, mengakui kestabilan dalaman parti itu memberi persepsi positif kepada rakyat, khususnya dari sudut keupayaan kepimpinan mengurus perbezaan pandangan tanpa mencetuskan perpecahan terbuka.
Beliau turut merujuk kepada pendekatan Ahmad Zahid dalam menangani perbezaan pendapat dengan Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh.
“Kita boleh bincang soal gerakan taktikal Ahmad Zahid, tetapi ia memberi gambaran bahawa beliau mampu mengurus perbezaan dengan baik. Walaupun pandangan mereka berbeza, ia tidak membawa kepada perpecahan dalam parti,” ujarnya.
Menurut Khairy lagi, berbanding parti-parti lain yang sedang berdepan ketegangan dalaman, UMNO setakat ini kelihatan lebih teratur dan tidak menunjukkan tanda-tanda krisis besar dalam kepimpinan.
Katanya, jika momentum kestabilan itu dapat dikekalkan sehingga pilihan raya umum akan datang, peluang Ahmad Zahid untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri akan menjadi semakin terbuka.
“Dalam keadaan politik hari ini, saya rasa kebarangkalian itu semakin meningkat dengan cepat untuk Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya. Itu pandangan saya,” katanya.
Sumber : Astro Awani






