
KOTA KINABALU, 25 Februari 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan langkah Kerajaan Sabah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai satu komitmen jelas dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus berkesan di peringkat negeri.
Ikrar tersebut diketuai Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, bersama barisan Ahli Jemaah Menteri Negeri dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu, hari ini.
Sebaik selesai melafazkan ikrar, Hajiji dan anggota kabinet negeri menandatangani dokumen IBR sebagai simbol komitmen rasmi, dengan majlis itu disaksikan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Mohd Fuad berkata, pelaksanaan IBR di peringkat Kabinet Negeri mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui amalan pentadbiran yang telus dan berintegriti.
Menurutnya, inisiatif berkenaan akan diperluaskan ke semua kementerian serta agensi di bawah pentadbiran negeri bagi memastikan agenda pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten.
“Program ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan isu rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat ditangani secara lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak kementerian, jabatan, agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta tampil menyokong serta menyertai program IBR sebagai usaha bersama memperkukuh integriti organisasi.
Sumber: Tawaukini






