Jangan Terpengaruh Isu Remeh! Fokus Bina Ekonomi Negara – PMX

Rakyat diseru agar menumpukan perhatian kepada agenda besar yang menentukan masa depan negara dan tidak terjerumus dalam isu-isu kecil yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum yang saling menghormati budaya dan agama masing-masing — asas penting kepada kestabilan serta kemakmuran negara.


Menurut beliau, nilai kemanusiaan dan budaya saling menghormati perlu terus dipupuk supaya tumpuan negara kekal kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


“Kadang-kadang kita terlalu diheret kepada isu kecil sehingga terlupa bahawa tanpa ekonomi yang kukuh, tanpa peningkatan pelaburan, anak-anak muda kita tidak akan mempunyai peluang pekerjaan dan mutu pendidikan yang lebih baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Huazong 2026, hari ini.


Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Presiden Huazong, Datuk Lim Kah Chuan.



Perpaduan Teras Kekuatan Negara

Anwar menegaskan bahawa keunikan Malaysia terserlah apabila setiap perayaan diraikan secara bersama tanpa mengira kaum dan latar belakang.


Menurutnya, semangat saling menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyat menjadi contoh bahawa kepelbagaian bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan negara.


Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan.


Namun, pada masa yang sama, rakyat pelbagai kaum tetap berhak mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.



Kepentingan Penguasaan Pelbagai Bahasa

Menyentuh isu bahasa, Perdana Menteri berkata pendekatan kerajaan adalah jelas — anak-anak perlu menerima kedudukan bahasa Melayu serta memahami sejarah negara, namun dalam masa sama digalakkan menguasai bahasa lain.


Beliau menjelaskan bahawa penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Cina juga penting kerana kedua-duanya mempunyai nilai ekonomi yang signifikan di peringkat serantau dan global.


“Asalkan kedudukan bahasa Melayu diterima dan difahami, maka pelajarilah bahasa lain. Ia bukan merugikan negara, malah menguntungkan,” katanya.


Menurut Anwar, pendekatan seimbang inilah yang akan memastikan Malaysia terus kompetitif, stabil dan bersatu dalam menghadapi cabaran masa depan.


— Bernama