
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendedahkan beliau bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, bagi meminta siasatan kes serangan terhadap anak lelakinya dihentikan, sekiranya tiada sebarang perkembangan positif.

Rafizi Ramli berkata beliau masih menunggu perkembangan siasatan.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, walaupun masih mempercayai pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, tempoh yang telah berlalu sejak Ogos tahun lalu disifatkan terlalu panjang tanpa sebarang kejelasan.
“Saya tunggu lagi. Kalau rasa siasatan ini tak ke mana, saya sendiri akan tulis surat kepada PM, Menteri Dalam Negeri dan PDRM supaya siasatan dihentikan dan kes ini diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).
“Jangan buang masa anggota polis di bawah yang hanya ikut arahan,” katanya menerusi satu hantaran di aplikasi X.
Menurut Rafizi, sejak kejadian serangan tersebut berlaku, beliau tidak pernah menerima sebarang maklum balas, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, berhubung perkembangan kes berkenaan.
Sebaliknya, beliau hanya mengetahui perkembangan siasatan melalui laporan media, sehinggalah pertemuannya bersama Menteri Dalam Negeri pada awal Disember lalu.

Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis Parlimen
“Minggu ini beliau jawab di Parlimen dan seperti saya jangka, jawapannya bersifat pentadbiran — tak boleh dedah kerana takut ganggu siasatan. Saya pun tak ambil hati.
“Sebab anak kita yang kena, takkan orang lain faham perasaan kita,” katanya.
Dalam masa sama, Rafizi berkata beliau tetap menghargai jawapan Menteri Dalam Negeri, kerana ia mengesahkan dua perkara penting — pertemuan mereka pada 1 Disember benar-benar berlaku dan maklumat mengenai perkembangan serta sudut siasatan kes tersebut memang telah dikongsikan secara peribadi.
“Cuma dia tak boleh kongsi secara terbuka saja,” jelasnya.
Sebelum ini, Saifuddin dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan secara terbuka maklumat tertentu berkaitan siasatan terhadap dalang di sebalik serangan tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan dan keselamatan saksi utama.
Untuk rekod, anak lelaki Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun, diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 2 petang pada 13 Ogos lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki mengekori kenderaan isteri Rafizi menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian berlaku. Namun sehingga kini, kes tersebut masih belum menunjukkan sebarang perkembangan ketara.
Sumber: FMT






