Isteri Syukur Keadaan Shamsul Ghau Ghau Tunjuk Perkembangan Positif – “Alhamdulillah ada perubahan positif”

Template gambar untuk berita (7)

Isteri kepada pelakon dan pelawak terkenal, Shamsul Ghau Ghau, 58, iaitu Sharifah Azrinah Syed Ibrahim meluahkan rasa syukur apabila suaminya menunjukkan perkembangan pemulihan yang sangat memberangsangkan selepas dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Sabtu lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Sharifah Azrinah atau Azrinaz berkata, dia amat bersyukur apabila melihat perubahan positif terhadap keadaan suaminya yang kini kembali ceria dan sudah boleh bertutur, meskipun masih belum mengingati sepenuhnya beberapa perkara.

Tunjukkan Perubahan Sejak Awal

Becdb2a74b33799eb301723fb52cc61b905451c0295480a9577b3dfa630cec0a

Azrinaz berkata, dia mula menyedari kelainan pada suaminya ketika berada di rumah sebelum dimasukkan ke hospital.

Pada mulanya, saya dapati suami tidak dapat bercakap dengan jelas untuk menyampaikan apa yang ingin dilakukannya. Sepatutnya dia beritahu mahu pergi ke lokasi penggambaran, tetapi dia hanya berkata, ‘saya dah nak kena pergi’. Perkataan yang diucapkan seolah-olah tidak lengkap,” katanya.

Menurutnya lagi, keadaan itu berterusan apabila mereka tiba di hospital dan doktor mengajukan beberapa soalan kepada Shamsul.

“Apabila doktor bertanya dia berada di mana, suami hanya menjawab, ‘saya di sini’, seolah-olah tidak menyedari dia berada di hospital. Malah, dia juga memandang ke arah saya untuk membantu menjawab soalan doktor, sedangkan sebelum ini dia boleh menjawab dengan baik,” jelasnya.

Azrinaz turut memaklumkan bahawa sebelum kejadian tersebut, Shamsul tidak pernah mengadu mengalami sakit kepala dan kelihatan sihat seperti biasa.

Hq720

“Namun, ketika dia pulang dari penggambaran drama pada Jumaat lalu, saya perasan tangan kanannya menggeletar. Apabila saya bertanya mengenai penggambaran pada keesokan harinya, dia memaklumkan tiada,” katanya.

Tambahnya, dia hanya mengetahui perkara sebenar selepas pihak produksi menghubunginya bertanyakan kehadiran Shamsul ke lokasi penggambaran pada Sabtu.

Kesan daripada strok yang dialami menyebabkan tangan kanan Shamsul masih belum dapat menggenggam dengan baik.

Bersyukur Pemulihan Berlaku Dengan Cepat

Dalam pada itu, Azrinaz meluahkan rasa syukur apabila suaminya menunjukkan pemulihan yang sangat pantas dalam tempoh tiga hari selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di otak.

“Alhamdulillah, keadaan suami menunjukkan perubahan yang sangat positif. Saya dan anak-anak amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk peminat, kenalan dan orang ramai yang menghulurkan sumbangan serta doa, sama ada yang kami kenal mahupun tidak,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 90 hari akan datang, keluarga dan rakan-rakan akan menjadi sistem sokongan utama kepada Shamsul seperti yang disarankan oleh pihak doktor.

Gsac

“Buat masa ini, keadaan suami masih dalam pemantauan doktor. Namun dalam tempoh tiga hari di hospital, saya dapat melihat pemulihan berlaku dengan sangat cepat dan keadaannya semakin stabil,” ujarnya.

Terdahulu, Shamsul atau mesra disapa Pak Su dimasukkan ke HSAAS selepas disahkan mengalami strok akibat pembekuan darah di otak dan selamat menjalani pembedahan pada Sabtu lalu.

Sumber: Harian Metro (Norhayati Nordin)