Israel mungkin tidak sempat capai usia 100 tahun? Bekas Jeneral beri amaran keras

bekas general

Seorang bekas Jeneral utama Israel mencetuskan perhatian apabila memberi amaran bahawa negara itu berisiko runtuh sebelum sempat menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya.

Bekas Mejar Jeneral Itzhak Brik, yang dikenali sebagai pengkritik lantang institusi ketenteraan Israel, mendakwa negaranya sedang menuju ke arah kehancuran akibat perpecahan dalaman yang semakin parah serta kepimpinan politik yang gagal memainkan peranan dengan berkesan.

Amaran “halangan 100 tahun” yang menggerunkan

Dalam satu artikel pendapat yang diterbitkan oleh akhbar Maariv, Brik mempersoalkan sama ada negara Israel moden mampu bertahan menghadapi tekanan dalaman dan luaran yang kini “mengoyakkan asas negara”.

Menurutnya, Israel sedang menghampiri apa yang digelarnya sebagai “halangan 100 tahun” — satu titik simbolik yang dibimbangi tidak akan dapat dilepasi sekiranya hala tuju semasa tidak berubah.

Israel berpecah dari dalam

Brik menegaskan bahawa ancaman terbesar Israel bukan datang daripada musuh luar, sebaliknya berpunca daripada konflik dalaman yang semakin membarah.

Beliau menggambarkan masyarakat Israel sebagai terperangkap dalam “kebencian yang mendalam” antara pelbagai kelompok — kanan menentang kiri, Yahudi menentang Arab — sehingga merosakkan fabrik sosial negara.

“Israel kini menjadi sebuah negara yang bertelagah dengan dirinya sendiri,” tulis Brik, sambil menyatakan bahawa polarisasi ini telah meresap ke setiap sudut kehidupan, memusnahkan nilai sosial dan budaya yang suatu ketika dahulu menjadi kekuatan utama negara itu.

Kepimpinan dipersoalkan, masa depan terancam

Tidak terhenti di situ, Brik turut mengkritik kepimpinan politik sedia ada yang disifatkannya sebagai cetek pandangan dan hanya mementingkan kelangsungan kuasa.

setanyahu menangis

Menurut beliau, para pemimpin gagal membina asas kukuh untuk menghadapi cabaran moden dalam aspek keselamatan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

Kesan daripada kegagalan ini, katanya, bukan sahaja melemahkan ketahanan dalaman Israel, malah menjejaskan reputasinya di peringkat antarabangsa.

Israel semakin dipandang dengan rasa jijik dan dijauhi oleh komuniti global, sekali gus mencetuskan fenomena penghijrahan bakat apabila golongan muda dan berpendidikan memilih untuk meninggalkan negara itu.

Masih ada harapan?

Walaupun nadanya keras, Brik mengakhiri penulisannya dengan sedikit sinar harapan.

Katanya, jika generasi muda mampu menukar keputusasaan kepada rasa tanggungjawab, dan polarisasi kepada kerjasama, Israel bukan sahaja mampu melepasi usia 100 tahun, malah berpotensi menjadi contoh ketahanan kepada dunia.

Sumber : Royanews