
Ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak apabila Iran dilaporkan menerima bantuan kecemasan ketenteraan dari Rusia, dipercayai melibatkan operasi angkutan udara besar-besaran pada 30 Januari lalu.
Menurut sumber pemerhati, bantuan tersebut dikaitkan dengan penghantaran sistem pertahanan udara S-300 dan S-400, sekali gus memberi isyarat sokongan Moscow kepada Tehran ketika risiko konflik ketenteraan semakin meningkat.
Sistem pertahanan udara S-400 Triumf buatan Rusia.
Langkah ini dikatakan berkait rapat dengan kebimbangan Iran terhadap kemungkinan serangan Amerika Syarikat, yang memiliki keupayaan ketenteraan canggih termasuk pesawat stealth B-2 Spirit, B-21 Raider serta jet pejuang F-35, yang direka untuk menembusi sistem pertahanan musuh tanpa dikesan radar.
Sebelum ini, pertahanan udara Iran bergantung kepada sistem S-300 PMU2 buatan Rusia. Namun, serangan udara Israel pada Oktober 2024 dilaporkan menyebabkan semua bateri aktif sistem itu rosak teruk, sekali gus melemahkan keupayaan pertahanan strategik negara tersebut.

Sistem S-300 yang sebelum ini menjadi tulang belakang pertahanan udara Iran.
Laporan terkini mendakwa Rusia mula menghantar S-400 Triumf ke Iran, yang mempunyai jarak liputan sehingga 400 kilometer serta radar canggih mampu mengesan pesawat stealth dan peluru berpandu balistik.
Dalam masa sama, Iran turut memperkukuh pertahanan dengan sistem buatan tempatan seperti Bavar-373, Khordad-15 dan Khordad-3, selain sistem jarak dekat 9-Dey bagi menangkis ancaman dron dan peluru berpandu jelajah.
Sistem Bavar-373 buatan Iran yang dikatakan setanding sistem pertahanan canggih luar negara.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Tehran turut mengumumkan bahawa stesen metro dan tempat letak kereta bawah tanah telah dikenal pasti sebagai lokasi perlindungan kecemasan orang awam sekiranya berlaku serangan.
Kehadiran aset tentera AS di rantau Teluk terus meningkatkan ketegangan geopolitik.
Pemerhati antarabangsa melihat gabungan bantuan Rusia, pengukuhan pertahanan Iran serta persiapan awam sebagai petanda bahawa rantau ini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi, ketika risiko konflik serantau terus menjadi perhatian dunia.






