
TEHRAN – Iran memberi amaran bahawa serangan terhadap Israel tidak akan dihentikan, menurut kenyataan beberapa pegawai kanan tentera republik itu yang dipetik media tempatan tanpa menamakan sumber secara khusus.
Agensi berita separa rasmi Fars News Agency melaporkan bahawa konfrontasi yang tercetus tidak terhad kepada serangan pada malam sebelumnya, sebaliknya akan diteruskan dalam tempoh yang belum ditentukan.
“Serangan Iran akan berterusan dan ia akan menjadi tindakan yang amat menyakitkan serta dikesali oleh pihak penceroboh,” menurut laporan agensi berkenaan yang memetik sumber ketenteraan.

Kenyataan tersebut muncul ketika Iran dan Israel saling melancarkan peluru berpandu serta serangan udara sepanjang malam. Perkembangan itu menyusul serangan udara terbesar pernah dilancarkan Israel terhadap Iran pada awal pagi Jumaat, sekali gus meningkatkan ketegangan antara dua musuh lama di rantau Timur Tengah.
Dalam perkembangan berkaitan, anggota Biro Politik Hamas, Izzat al-Risheq, menyifatkan tindak balas Iran sebagai bukti bahawa setiap tindakan agresif akan menerima balasan setimpal.
Beliau mendakwa puluhan peluru berpandu dan dron berketepatan tinggi telah berjaya mengenai sasaran di dalam wilayah Israel meskipun negara itu memiliki sistem pertahanan udara canggih.
“Isyarat daripada serangan balas ini jelas — sesiapa yang menyerang akan membayar harganya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi saluran rasmi Telegram Hamas.
Konflik yang semakin memuncak ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kemungkinan perluasan perang yang boleh menggugat kestabilan keseluruhan rantau tersebut.
– Agensi






