
Ketegangan di Asia Barat kembali memuncak apabila Ali Shamkhani, penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran keras terhadap sebarang tindakan bermusuhan ke atas Iran.
Menurut laporan Roya News, Shamkhani menegaskan bahawa sebarang serangan akan dibalas dengan tindak balas berkesan dan bersifat pencegahan, malah memberi bayangan konflik tidak akan terhad di laut sahaja, sebaliknya boleh melibatkan serangan langsung jauh ke dalam wilayah “Israel”.

Shamkhani mendakwa pihaknya telah “membongkar” perancangan musuh, termasuk usaha untuk melakukan pertukaran kepimpinan dan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, sambil menegaskan Tehran kini berada dalam kedudukan kelebihan ketenteraan untuk menangkis sebarang ancaman.
Menurutnya, keutamaan utama Iran ketika ini adalah kesiapsiagaan penuh, dengan setiap ancaman akan dibalas secara setimpal, berkesan dan memberi kesan pencegahan.
“Iran tidak akan mengehadkan sebarang konfrontasi di laut sahaja. Kami mempunyai pelbagai senario, termasuk serangan terus ke wilayah yang diduduki,” katanya, merujuk kepada Israel.
Shamkhani turut menekankan bahawa angkatan tentera Iran kini memantau setiap pergerakan musuh dengan teliti dan bersedia bertindak pada masa yang sesuai.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa Tehran telah merangka strategi pertahanan dan serangan, serta tidak teragak-agak menggunakan pilihan lebih berkesan demi mempertahankan keselamatan negara dan kedaulatan wilayah Iran.
Menurut Roya News lagi, laporan sebelum ini mendedahkan bahawa pegawai kanan tentera Amerika Syarikat (AS) telah memberi amaran kepada sekutu utama di Asia Barat supaya bersiap sedia menghadapi serangan AS ke atas Iran, yang berkemungkinan berlaku seawal Ahad.
Serangan yang dirancang itu dikatakan menyasarkan kemudahan nuklear Iran, tapak peluru berpandu balistik dan instalasi ketenteraan, selain mempertimbangkan pembunuhan pemimpin kanan Iran bagi membuka laluan kepada pertukaran rejim.
Operasi itu dilaporkan memfokuskan kepada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang dianggap sebagai tunjang utama kuasa politik dan ekonomi Iran sejak Revolusi 1979.
Seorang bekas pegawai kanan perisikan AS yang kini memberi nasihat tidak rasmi kepada pentadbiran Donald Trump dipetik berkata,
“Ini bukan mengenai nuklear atau peluru berpandu. Ini tentang pertukaran rejim.”
Strategi itu dikatakan menjangkakan serangan tersebut akan mencetuskan protes besar-besaran di Iran, sekali gus menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri ‘Israel’ Benjamin Netanyahu dilaporkan menyokong tindakan itu dan memberi jaminan kepada Trump bahawa Israel mampu membantu mewujudkan kerajaan pro-Barat di Iran.
Persoalannya kini, adakah rantau Asia Barat bakal menyaksikan konflik berskala besar… atau masih ada ruang untuk diplomasi?
Sumber : Roya News






