
Cendawan susu harimau bukan nama asing dalam dunia herba tradisional, namun harganya mampu membuat ramai terkejut apabila nilai pasaran mencecah ribuan ringgit bagi setiap kilogram.
Herba yang terkenal dengan khasiat untuk penyakit paru-paru, resdung dan kanser ini sememangnya sentiasa menjadi buruan, walaupun hanya dijual dalam potongan kecil berharga antara RM150 hingga RM200.
Menurut seorang penjual herba, Ikhwan Shah Shaharuddin, 41, cendawan susu harimau sangat sukar diperoleh kerana hanya tumbuh di kawasan hutan tebal dan tidak boleh ditanam sewenang-wenangnya.
“Sebab itulah ia hanya dijual dalam potongan kecil. Harganya memang mahal, satu potongan kecil pun boleh cecah RM150 hingga RM200,” katanya ketika ditemui di Pasar Lambak.
Jelasnya lagi, khasiat cendawan susu harimau menjadi tarikan utama pembeli, khususnya dalam kalangan pesakit kanser yang sanggup membayar harga tinggi demi rawatan alternatif.

“Walaupun mahal, tetap ada yang sanggup beli. Selain kanser, ada juga yang guna untuk rawat resdung,” katanya.
Menurut pengalaman pencari herba, cendawan susu harimau bukan mudah ditemui. Malah, ada kalanya hanya satu atau dua pokok sahaja ditemui dalam tempoh setahun, menjadikan nilainya semakin tinggi.
Ikhwan Shah turut menjelaskan bahawa hanya bahagian ubi atau sklerotium, iaitu bahagian umbi di bawah tanah, digunakan untuk tujuan perubatan.
Bahagian tersebut biasanya akan diasah menjadi serbuk atau diracik untuk rebusan, namun pengambilannya hanya dalam kuantiti yang sangat sedikit.
Mahal bukan sebarang mahal, tapi demi kesihatan, ada yang sanggup berhabis asalkan memberi harapan.
Sumber : Hmetro






