“Guarana Selamat & Berpotensi Ekonomi”-Jeffry, “Masih Dilarang”!-Jamawi

Jamawi

Isu penanaman pokok Guarana kini menjadi perhatian apabila kenyataan dua pihak berprofil tinggi dilihat bercanggah, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai: Guarana sebenarnya selamat atau masih haram ditanam di Sabah?

Dr Jeffrey: Guarana Selamat, Bibit Tempatan Sudah Diuji

Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, tampil mempertahankan tanaman Guarana dengan menegaskan bahawa kajian jangka panjang telah membuktikan ia tidak mengancam sektor pertanian negara.

Menurut beliau, kajian merangkumi tujuh generasi tanaman menunjukkan Guarana bebas penyakit, selain bibit tempatan telah dikuarantin selama dua tahun sebelum disahkan selamat.

“Sebagai pengeluar baharu, kita kini memiliki bibit Guarana yang telah diuji dan disahkan selamat. Ini membolehkan kita memperluaskan industri ini tanpa kebergantungan kepada negara luar,” katanya.

jefrry

Tambah beliau, Malaysia kini tidak lagi bergantung kepada bibit import dari Brazil, sebaliknya sudah membangunkan bibit tempatan sendiri. Malah, kajian di Indonesia dan Sarawak turut mendapati Guarana telah lama wujud di rantau Borneo.

Dr Jeffrey optimis Guarana berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu, termasuk penghasilan produk komersial seperti kopi Guarana, sekali gus membuka peluang pekerjaan terutama di kawasan luar bandar.

Beliau turut menegaskan bahawa Guarana tidak tersenarai sebagai tanaman terlarang, dan menyeru kerjasama semua pihak bagi membangunkan industri ini. Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa pemimpin tempatan dan wakil biro penerangan Guarana dari pelbagai daerah.

Kerajaan Sabah Tegas: Tiada Kelulusan, Guarana Tetap Dilarang

Namun, kenyataan tersebut segera disanggah oleh Kerajaan Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menegaskan bahawa penanaman, pengimportan dan penyelidikan pokok Guarana masih dilarang sepenuhnya di Sabah.

Menurut beliau, pendirian itu dibuat berdasarkan undang-undang kuarantin tumbuhan serta pemakluman rasmi daripada Kerajaan Brazil, selaku negara asal Guarana.

“MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan permit import, pembiakan atau penanaman Guarana.
Sebarang bahan tanaman Guarana yang berada di Sabah adalah dibawa masuk secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Pertanian Malaysia telah menyatakan secara jelas bahawa pengimportan dan penanaman Guarana tidak dibenarkan di seluruh Malaysia, termasuk Sabah, dan tiada pengecualian diberikan di peringkat negeri.

Dua Naratif, Satu Persoalan Besar

Isu ini memperlihatkan pertembungan antara aspirasi pembangunan ekonomi berasaskan kajian dengan pendirian undang-undang dan kawalan biosekuriti.

Di satu pihak, Guarana dilihat sebagai tanaman bernilai tinggi yang berpotensi menjana pendapatan baharu. Namun di pihak lain, kerajaan negeri menegaskan bahawa aspek undang-undang dan keselamatan pertanian tidak boleh dikompromi.

Buat masa ini, penanaman Guarana di Sabah masih kekal tidak dibenarkan, dan orang awam dinasihatkan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti import atau penanaman tanpa kelulusan rasmi.

Persoalannya kini:
Adakah Guarana akan diberi lampu hijau pada masa depan, atau kekal sebagai tanaman kontroversi di Sabah?

Sumber : Facebook Jeffry Kitingan