
Gergasi teknologi dunia, Google, dilaporkan bersetuju membayar USD68 juta (sekitar RM300 juta) bagi menyelesaikan satu saman yang mendakwa teknologi pembantu suara, Google Assistant, telah mendengar dan merakam perbualan peribadi pengguna secara rahsia.
Menurut Free Malaysia Today, dalam laporan Anadolu Ajansi, saman tersebut difailkan di Mahkamah Persekutuan California pada 23 Januari lalu, dengan dakwaan bahawa Google Assistant diaktifkan tanpa kebenaran pengguna dan perbualan peribadi dirakam sebelum dihantar ke pelayan Google.
Difahamkan, peranti Android yang menggunakan Google Assistant sepatutnya hanya diaktifkan selepas mengesan frasa pencetus seperti
“Hey Google” atau “Okay Google”.

Namun, saman itu mendakwa pembantu suara berkenaan
‘kadangkala diaktifkan secara tidak sengaja,’
sekali gus menyebabkan perbualan peribadi dirakam tanpa pengetahuan pengguna.Walaupun Google mengakui bahawa arahan suara diproses dengan menghantar rakaman ke pelayannya, pengadu mendakwa pengaktifan tidak disengajakan itu telah membuka ruang kepada pengumpulan data peribadi secara senyap.
Ciri Google Assistant digunakan secara meluas pada pelbagai peranti termasuk telefon pintar, pembesar suara pintar, komputer riba, tablet dan fon kepala tanpa wayar, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap isu privasi pengguna.
Bagaimanapun, Google memaklumkan bahawa syarikat itu bersetuju untuk membayar jumlah tersebut bagi mengelakkan proses litigasi yang panjang, dan bukan sebagai pengakuan salah.
Penyelesaian saman itu kini masih menunggu kelulusan Hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat, Beth Labson Freeman.
Dalam perkembangan berkaitan, Apple sebelum ini turut mencuri perhatian apabila pada 3 Januari lalu bersetuju membayar USD95 juta bagi menyelesaikan saman tindakan kelas yang mendakwa pembantu suara Siri turut mendengar perbualan peribadi pengguna tanpa kebenaran.
Isu ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar dalam kalangan netizen:
“Sejauh mana keselamatan privasi kita apabila menggunakan teknologi pembantu suara”?
Sumber: FMT






