
DAP akan terus mendesak supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berhubung kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti dilaporkan oleh Bloomberg baru-baru ini.
Walaupun SPRM menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas serta bersumberkan blog tanpa nama — dan mereka sememangnya berhak berbuat demikian — penafian semata-mata tidak mencukupi. Prinsip asas keadilan menetapkan bahawa tiada pihak boleh menjadi hakim dalam kes yang melibatkan dirinya sendiri.
Apabila integriti agensi utama pencegahan rasuah negara dipersoalkan, pelepasan yang dikeluarkan sendiri oleh agensi tersebut tidak memadai. Tanpa siasatan bebas, keyakinan awam dan pelabur sukar untuk dipulihkan sepenuhnya. Pendirian parti, seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung Anthony Loke sebelum ini, adalah jelas dan konsisten.
Apa yang diperlukan ialah siasatan yang bebas, telus dan berkecuali. Dakwaan yang dikemukakan bukan bersifat umum; ia menyebut nama individu, syarikat serta merujuk kepada kes-kes tertentu yang boleh dikenal pasti. Justeru, terdapat asas yang munasabah untuk siasatan dimulakan.
Penubuhan RCI adalah langkah paling wajar kerana ia mempunyai kuasa statutori yang mencukupi untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan bermakna.
Sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak, serta tindakan susulan yang perlu diambil, hendaklah ditentukan melalui proses RCI.
Usaha ini bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya untuk memastikan SPRM kekal bebas daripada sebarang syak wasangka dan terus dihormati sebagai institusi berintegriti tinggi.
Isu ini telah menarik perhatian meluas, bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa. Oleh itu, adalah penting langkah yang tuntas dan berwibawa diambil bagi menanganinya.
Penubuhan RCI juga bukan bermaksud melemahkan SPRM, tetapi sebaliknya memperkukuh kedudukannya. Semua agensi penguatkuasaan dan penyiasatan di negara ini tertakluk kepada prinsip akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
Sehubungan itu, pendirian kami kekal: satu siasatan mesti dijalankan terhadap dakwaan yang dibangkitkan, dan ia hendaklah dilaksanakan melalui RCI yang dilengkapi kuasa penuh bagi memastikan penyiasatan yang berkesan, telus dan menyeluruh dapat dilaksanakan dengan segera.
Sumber : Facebook Democratic Action Party






