
Baru-baru ini, tular satu laporan oleh media antarabangsa, Bloomberg yang mendedahkan dakwaan salah laku dan penyelewengan kuasa membabitkan agensi penguatkuasaan negara termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pendedahan ini menggemparkan ramai kerana ia disifatkan cukup serius dan mengingatkan rakyat kepada episod hitam skandal 1MDB hampir sedekad lalu.
Dakwaan Libatkan Wang Ratusan Juta
Antara yang dilaporkan termasuk siasatan terhadap seorang individu dikenali sebagai Victor Chin yang didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram melebihi RM500 juta menggunakan syarikat tersenarai awam. Kes tersebut difahamkan pernah disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama SPRM sekitar 2021, namun berakhir tanpa pendakwaan dan sebahagian besar wang dipulangkan.
Turut didakwa, Ketua Pesuruhjaya SPRM,

Azam Baki campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api yang dikaitkan dengan individu tertentu — namun kes tersebut dikatakan berakhir tanpa sebarang pendakwaan.
Desakan Gantung KP SPRM & Tubuh Siasatan Bebas
Susulan pendedahan itu, beberapa Ahli Parlimen termasuk Rafizi Ramli menggesa supaya Azam Baki digantung serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan bebas dan telus.
Mereka turut menasihati Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar tidak mengulangi kesilapan lampau seperti era pentadbiran Najib Razak ketika isu 1MDB.
Menurut kenyataan itu, antara tindakan yang akan diambil termasuk:
- Menghubungi Ahli Parlimen merentas parti untuk menyokong desakan penggantungan KP SPRM
- Mengadakan sesi penerangan di kawasan masing-masing
- Mendesak pimpinan parti kerajaan memberi tekanan kepada Perdana Menteri
- Mencadangkan perhimpunan aman melalui NGO reformasi pilihan raya
- Membuat laporan polis terhadap Azam Baki berhubung dakwaan campur tangan kes
Dakwaan Libatkan Beberapa Agensi Penguatkuasaan
Isu ini bukan sahaja menyentuh SPRM, malah turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan LHDN. Pendedahan berkenaan didakwa menunjukkan kemungkinan salah guna kuasa dan persekongkolan dengan ahli perniagaan tertentu.
Ahli-ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan bersama termasuk:
- Rafizi Ramli – AP Pandan
- Wong Chen – AP Subang
- Rodziah Ismail – AP Ampang
- Nik Nazmi Nik Ahmad – AP Setiawangsa
- Lee Chean Chung – AP Petaling Jaya
- S Kesavan – AP Sungai Siput
- Tan Kar Hing – AP Gopeng
- Zahir Hassan – AP Wangsa Maju
Rakyat Jadi Hakim?
Dalam kenyataan itu, mereka menegaskan bahawa rakyat akan menilai sendiri pendirian kerajaan dalam menangani dakwaan ini. Mereka memberi amaran bahawa sebarang usaha menutup atau melengahkan siasatan hanya akan mengundang kemarahan rakyat.
Kini, tumpuan terarah kepada langkah seterusnya kerajaan dalam menangani isu ini — sama ada menggantung Ketua Pesuruhjaya SPRM dan menubuhkan siasatan bebas, atau berdepan tekanan politik yang semakin memuncak.
Isu ini dijangka terus hangat dan menjadi perhatian utama dalam arena politik negara minggu-minggu mendatang.
Sumber : Facebook Rafizi Ramli






