Dulu Gelar “Bangsat”, Kini Pertahan Polisi PTPTN Sama?

Adam

Nama Adam Adli Abd Halim kembali menjadi perhatian apabila kenyataannya berhubung isu sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang culas mencetuskan perbincangan hangat.

Jika sebelum ini beliau lantang mengecam cadangan tersebut sehingga menyifatkannya sebagai tindakan “bangsat”, namun kini selaku Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam tampil mempertahankan langkah yang hampir sama di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

“Bukan polisi menyeluruh seperti dulu”

Menjelaskan perubahan pendiriannya, Adam menegaskan pendekatan kerajaan ketika ini berbeza sama sekali berbanding pelaksanaan semasa era kerajaan terdahulu.

Menurutnya, penyenaraian hitam tidak dilakukan secara menyeluruh, sebaliknya hanya melibatkan kes tertentu yang memerlukan tindakan tegas.

“Penyenaraian hitam bukan polisi menyeluruh seperti mana kita lakukan suatu masa dahulu. Ia hanya melibatkan peminjam yang memang mempunyai keupayaan membayar, tetapi enggan berbuat demikian,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Hanya 0.7 peratus peminjam terlibat

Adam turut mendedahkan bahawa jumlah peminjam yang bakal dikenakan tindakan adalah sangat kecil.

Daripada lebih 417,000 peminjam culas, hanya sekitar 0.7 peratus, iaitu kurang 3,000 orang, dikenal pasti sebagai peminjam yang mempunyai kemampuan membayar tetapi gagal berbuat demikian.

Penjelasan itu diberikan sebagai jawapan kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Betong, Richard Rapu, yang meminta kejelasan mengenai kesan penyenaraian hitam khususnya terhadap golongan B40, selaras dengan realiti pasaran kerja dan kos sara hidup semasa.

Kenyataan lama kembali dipetik

Isu ini kembali tular apabila kenyataan lama Adam ketika bergelar aktivis pelajar dipetik semula. Ketika itu, beliau secara terbuka mengkritik Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berhubung cadangan sekatan perjalanan ke luar negara.

Adam pernah mendakwa cadangan tersebut bercanggah dengan aspirasi Pakatan Harapan dan melabel PTPTN sebagai “badan paling bangsat dalam negara” dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

Suatu ketika dahulu -Adam Adli

Dari aktivis ke kerajaan, pendekatan berbeza?

Perubahan nada Adam Adli ini mencetuskan pelbagai reaksi netizen, ada yang melihatnya sebagai realiti memegang jawatan dalam kerajaan, manakala ada juga yang mempersoalkan konsistensi pendirian politiknya.

Namun bagi Adam, perbezaan utama terletak pada cara pelaksanaan, bukan semata-mata dasar itu sendiri.

Ringkasnya, apa yang dahulu ditentang sebagai polisi menekan rakyat, kini dikatakan dilaksanakan secara bersasar dan lebih berperikemanusiaan.

Persoalannya, adakah rakyat akan menerima penjelasan ini — atau isu ini akan terus menghantui perjalanan politik Adam Adli?

Sumber : Malaysiakini, Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd & Dania Kamal Aryf