
Suasana di Dewan Rakyat hari ini tegang apabila beberapa Ahli Parlimen mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki susulan pendedahan terbaharu media mengenai isu pegangan sahamnya.
Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka) memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan. Menurut beliau, isu integriti tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ini merupakan kali kedua perkara sama dibangkitkan.
“Azam Baki perlu letak jawatan. He has to go. Either he has to go or we have to go. Jika kita benarkan beliau terus memegang jawatan, pengundi mungkin akan menghukum kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat.

Khoo turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkenaan, sekali gus membersihkan nama SPRM jika tiada salah laku berlaku.
Minggu lalu, Bloomberg dan Malaysiakini melaporkan secara berasingan bahawa Azam didakwa memiliki pegangan saham yang besar dalam dua syarikat, didakwa melebihi had dibenarkan kepada penjawat awam.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau pada satu ketika memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Nilai saham Velocity Capital dianggarkan sekitar RM1.5 juta, manakala pegangan dalam Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada tempoh tertentu.
Walaupun pembelian saham oleh penjawat awam tidak menyalahi undang-undang secara mutlak, Pekeliling Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam 2024 menetapkan had pemilikan tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai lebih RM100,000 pada harga semasa.
Azam bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan menyatakan pegangan tersebut diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka dan tidak melibatkan langganan modal berbayar syarikat.
Khoo menegaskan bahawa isu serupa pernah timbul pada tahun 2022, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa perkara itu berulang.
“Ini kali kedua dibongkarkan. Kerajaan mesti bertindak tegas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Awang Hashim (PN–Pendang) bangkit mencelah dan menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI.

“Buat pertama kali saya menyokong Kota Melaka untuk menubuhkan RCI. Whether you go or we go. You go or we go. Saya sokong,” katanya.
Terdahulu, lapan Ahli Parlimen PKR turut menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Azam bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang mewakili kumpulan tersebut, menegaskan bahawa Pakatan Harapan dan Perdana Menteri tidak seharusnya menanggung risiko politik akibat dakwaan yang membabitkan seorang penjawat awam.
Isu berkenaan terus menjadi perhatian, dengan desakan supaya ketelusan dan akauntabiliti ditegakkan demi memelihara kredibiliti institusi penguatkuasaan negara.
Sumber : Malaysiakini






