
Keunikan seni bina serta nilai sejarah yang tinggi menjadikan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka terus kekal sebagai antara lokasi wajib singgah, bukan sahaja bagi pelancong luar negara malah rakyat tempatan sendiri.
Bangunan ikonik berusia lebih satu abad itu kini kembali menjadi tumpuan selepas melalui kerja pengubahsuaian yang memberi nafas baharu, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai untuk mendekati sejarah ibu kota dengan lebih dekat.
Pelbagai Aktiviti & Pameran Tarik Minat Pengunjung
Antara tarikan utama yang ditawarkan termasuk pameran miniatur pembangunan Kuala Lumpur, paparan sejarah interaktif serta maklumat mengenai peranan bangunan tersebut sejak era pentadbiran British.
Lokasinya yang strategik di tengah-tengah bandar raya, selain berhampiran rangkaian pengangkutan awam, turut memudahkan pergerakan pengunjung.
“Tunggu Hampir 50 Tahun, Akhirnya Dapat Masuk”
Memetik laporan Berita Harian, seorang pelancong tempatan dari Negeri Sembilan, Siti Rubiah Mohd Ramli, meluahkan rasa teruja apabila akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke dalam bangunan yang selama ini hanya dapat dilihat dari luar.
“Saya menunggu hampir 50 tahun untuk masuk ke bangunan ini dan selama ini hanya melihat dari luar.
Bangunan ini memang cantik dan agak sayang kerana sebelum ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.”
Menurutnya, kerja pengubahsuaian yang dilakukan bukan sahaja memelihara warisan, malah mengangkat kembali Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai satu simbol kebanggaan negara.
“Kerja naik taraf ini memberi nafas baharu dan menjadikannya satu lagi bangunan ikonik yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.”
Pelancong Luar Negara Turut Teruja
Bukan sahaja rakyat tempatan, malah pelancong luar negara turut mengambil peluang mengunjungi bangunan bersejarah itu bagi memahami latar belakang sejarah dan budaya Malaysia.
“Kami memperoleh maklumat mengenai bangunan ini menerusi internet dan menganggapnya antara lokasi wajib dikunjungi,” kata seorang pelancong asing.
Menurut mereka, keindahan seni bina bangunan yang dipadukan dengan suasana sekitar yang tenang serta elemen semula jadi menjadikan kawasan itu sangat sesuai untuk lawatan santai dan pembelajaran sejarah.

Mercu Tanda Warisan Kuala Lumpur
Dengan keunikan seni bina Moorish, jam ikonik serta peranannya dalam sejarah pentadbiran negara, Bangunan Sultan Abdul Samad kekal sebagai antara mercu tanda warisan paling penting di Kuala Lumpur.
Usaha memulihara dan mengaktifkan semula bangunan ini dilihat sebagai langkah tepat dalam memastikan generasi masa depan terus mengenali dan menghargai sejarah negara.
Sumber : Berita Harian









