
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg L.P. berhubung penerbitan sebuah artikel yang didakwa berunsur fitnah berkaitan isu pemilikan saham.
Saman tersebut difailkan menerusi firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad di Mahkamah Tinggi, dengan Bloomberg yang beralamat di Lexington Avenue, New York serta anak syarikatnya di Malaysia, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM100 juta, selain ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos. Beliau turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan serta wakil mereka daripada terus menerbitkan kenyataan yang didakwa memfitnahnya, selain menuntut agar kenyataan tersebut dipadam dalam tempoh tiga hari selepas penghakiman. Permohonan maaf juga dituntut, dengan teksnya perlu dipersetujui oleh pihak plaintif sebelum diterbitkan di akhbar dan media sosial pilihan beliau.
Tindakan itu berkaitan artikel bertajuk “Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry” yang diterbitkan di Bloomberg.com pada 10 Februari lalu, hasil tulisan Niki Koswanage dan Tom Redmond.

Artikel berkenaan didakwa menyatakan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain membayangkan beliau tidak mengisytiharkan aset secara terbuka.
Menurut Azam, artikel tersebut menyentuh secara langsung kedudukan beliau sebagai penjawat awam berprofil tinggi dan boleh diakses secara meluas, termasuk melalui langganan Bloomberg Terminal oleh institusi kewangan serta pengguna komersial di negara ini. Beliau mendakwa kandungan itu membawa gambaran seolah-olah beliau menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam amalan korup.
Azam turut menyatakan bahawa sebelum artikel diterbitkan, pihak defendan telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan dan beliau telah memberikan maklum balas yang terperinci serta munasabah. Namun, beliau mendakwa penjelasan tersebut tidak diambil kira sepenuhnya dan artikel berkenaan tetap diterbitkan dalam bentuk yang disifatkan sebagai berat sebelah, sensasi dan mengelirukan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Azam menegaskan bahawa defendan gagal mengambil langkah pengesahan fakta yang wajar sebelum penerbitan, termasuk semakan silang sumber dan penilaian menyeluruh terhadap maklumat yang diperoleh. Beliau mendakwa tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip kewartawanan bertanggungjawab serta elemen di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang melarang penerbitan berita palsu atau tidak disahkan.
Azam berpendirian bahawa artikel tersebut membawa maksud beliau seorang pegawai awam yang tidak jujur, tidak berintegriti dan tidak boleh dipercayai, selain melanggar peraturan pengisytiharan aset serta menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi. Beliau menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa semua kewajipan pengisytiharan aset telah dipatuhi sepenuhnya melalui saluran rasmi termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRIMS).
Tambahnya lagi, saham yang disebut dalam artikel berkenaan telah dilupuskan sebelum tarikh penerbitan dan pelaburan tersebut dibuat menggunakan sumber kewangan yang sah termasuk pendapatan serta faedah persaraan. Beliau mendakwa keseluruhan artikel itu mengandungi fakta tidak tepat, penyampaian terpilih serta naratif yang memberi gambaran negatif dan tidak benar terhadap dirinya.
Sumber : Hmetro






