
Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM, 13 Februari 2026 – Detik simbolik penyerahan kembali bendera Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) oleh pengembara solo bermotosikal dan alumni universiti itu, Anita Yusof, menjadi tumpuan utama Program Alumni Talk dan Majlis Penyerahan Bendera yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Jumaat lalu.
Bendera yang dibawa merentas pelbagai negara sepanjang pengembaraan global Anita diserahkan kembali kepada universiti sebagai lambang kesetiaan, kebanggaan dan jati diri seorang alumni terhadap alma maternya. Simbolisme itu mencerminkan hubungan erat antara graduan dan institusi, meskipun telah melangkah jauh ke pentas antarabangsa.
Anita berkata bendera berkenaan bukan sekadar kain yang dikibarkan, sebaliknya menjadi saksi perjalanan, cabaran dan ketabahan yang ditempuh sepanjang kembara merentas benua.
“Bendera ini membawa makna yang sangat besar dalam hidup saya. Ia melambangkan identiti UPSI yang sentiasa bersama saya walau di mana jua berada, sama ada ketika berdepan cabaran cuaca, halangan bahasa mahupun situasi tidak dijangka.
Dalam sesi perkongsian, beliau turut mengimbau perjalanan akademiknya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, yang disifatkannya sebagai titik perubahan penting dalam membentuk keyakinan diri dan cara berfikir.
“Saya memulakan pengajian pada tahun 2000 ketika usia sudah 30-an. Saya hadir dengan tekad untuk menimba ilmu walaupun ketika itu telah berkhidmat sebagai guru dan merupakan ibu kepada dua orang anak.
Menurut Anita, pengalaman sebagai mahasiswa bukan sahaja memperkukuh asas akademik dalam bidang Pendidikan Sains Sukan, malah membuka perspektif baharu tentang dunia, termasuk pendedahan awal kepada internet yang mencetuskan keberanian untuk mengembara.
Beliau berkata keberanian tersebut mula diterjemahkan ketika masih bergelar mahasiswa melalui pengalaman backpacking solo ke Eropah, yang menjadi asas penting dalam membina daya tahan, disiplin dan keyakinan diri.
Mengulas cabaran sepanjang pengembaraan global, Anita menegaskan bahawa kejayaan di luar zon selesa memerlukan kecekalan mental serta keupayaan menyelesaikan masalah.
“Dalam banyak keadaan sukar, bukan kekayaan atau kedudukan yang menjadi penentu, tetapi survival intelligence tentang bagaimana kita berfikir, menyesuaikan diri dan bertindak untuk keluar daripada cabaran,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pencapaian Anita wajar dijadikan sumber inspirasi kepada mahasiswa, khususnya dalam memupuk keberanian, ketahanan diri dan kebanggaan terhadap identiti universiti.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan dan Pusat Alumni UPSI sebagai platform memperkukuh hubungan alumni serta menyemai semangat motivasi dalam kalangan warga universiti.

Anita bergambar ketika menyerahkan bendera UPSI kepada Md Amin pada Program Alumni Talk dan Majlis Penyerahan Bendera di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah.

Anita ketika berkongsi pengalaman merentas lebih 81 negara pada Program Alumni Talk dan Majlis Penyerahan Bendera di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Md Amin ketika berucap pada Program Alumni Talk dan Majlis Penyerahan Bendera di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Anita (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama barisan pengurusan UPSI serta para pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatian pada Program Alumni Talk dan Majlis Penyerahan Bendera di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Oleh : Bazli Razak
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI






