China Sokong Penuh Iran Dalam Mmpertahankan Kedaulatan Negaranya


China menyatakan sokongan terhadap Iran dalam mempertahankan kedaulatan negaranya, sambil menegaskan komitmen untuk mengusahakan penyelesaian damai.


Menteri Luar China, Wang Yi, dalam perbualan telefon pada Isnin (2 Mac) dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi, memaklumkan bahawa Beijing menyokong Tehran dalam mempertahankan diri daripada serangan Amerika Syarikat dan Israel, ketika konflik dilaporkan semakin meluas di Asia Barat.


Sejak Sabtu, ratusan dilaporkan terkorban di Iran susulan serangan yang menyasarkan puluhan lokasi di negara itu. Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan gelombang peluru berpandu dan dron ke arah Israel, beberapa negara Teluk serta sebuah pangkalan British di Cyprus.


Menurut laporan penyiar negara China Central Television (CCTV), Wang menegaskan bahawa China menghargai hubungan tradisional dengan Iran serta menyokong negara itu dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan, integriti wilayah dan maruah nasional, di samping melindungi hak serta kepentingan sahnya.


China juga, menurut beliau, menggesa Amerika Syarikat dan Israel agar segera menghentikan operasi ketenteraan, mengelakkan peningkatan ketegangan dan mencegah konflik daripada terus merebak di rantau tersebut.


Dalam perbualan berasingan dengan Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, Wang menuduh Amerika Syarikat dan Israel melanggar tujuan serta prinsip United Nations melalui tindakan yang didakwa mencetuskan perang terhadap Iran.

Beliau turut menyatakan kesediaan China memainkan peranan konstruktif, termasuk melalui platform United Nations Security Council, bagi menegakkan keadilan dan mengusahakan penamatan konflik.


Sementara itu, dalam perbualan dengan Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, Wang memberi amaran bahawa dunia berisiko kembali kepada “undang-undang rimba” jika kuasa besar bertindak sewenang-wenangnya berdasarkan kelebihan ketenteraan.


Beliau turut menegaskan bahawa isu nuklear Iran perlu dikembalikan ke landasan penyelesaian politik dan diplomatik.


Setakat ini, empat anggota tentera Amerika Syarikat dilaporkan terbunuh dalam pertempuran, manakala Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran bahawa konflik dengan Iran berkemungkinan berlarutan selama beberapa minggu. – Agensi