
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga, Lisa Hassan Alban menyatakan sokongan penuh terhadap petisyen bersejarah yang difailkan oleh Sarawak di Mahkamah Persekutuan pada 24 Februari 2026 untuk mencabar keperlembagaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), Akta Pelantar Benua 1966 (CSA66) dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 (PMA66).
Menurut beliau, langkah Sarawak ini merupakan pemasyhuran kuasa terhadap hak-hak yang telah dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelasnya, MA63 dimenterai sebagai sebuah rangka kerjasama dan takzim, bukan sebagai alat menguasai Negeri Borneo dalam Persekutuan ini.
Katanya lagi, dengan menuntut autonomi ke atas sumber asli dan kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan, petisyen ini telah membangkitkan semangat sebenar MA63.
“Saya berdiri teguh bersama Sarawak,” tegas Lisa dalam satu kenyataan media.
Beliau menambah, “Kami sedar bahawa PDA74, CSA66 dan PMA66 akan dicabar bukan sekadar elemen undang-undangnya tetapi juga moral dan sejarahnya. Telah berdekad-dekad, undang-undang ini menghakis hak Sabah dan Sarawak, menafikan kepentingan kita mengawal sumber penting kita iaitu minyak dan gas.”
“Tanggungjawab menuntut hak dan melindungi MA63 juga terletak pada kita, Sabah. Kita mesti bangkit dan mempertahankan apa yang menjadi hak kita. Ini bukan perjuangan Sarawak sendirian; ini adalah perjuangan kita bersama. MA63 bukannya suatu pakatan politik; ia adalah perjanjian antarabangsa yang mesti dihormati dan ditegakkan bersungguh-sungguh,”
“Apa lagi yang lebih bermakna selain memastikan generasi akan datang mewarisi Sabah yang berdaya dan bermaruah? Maka sebab itulah Kerajaan Sabah juga mesti menuntut perkara yang sama atau mengaku bahawa kerajaan memang tidak peduli. Tiada tuntutan, tiada maruah,” tegasnya.

Kerajaan Sarawak telah memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan Malaysia untuk mendapatkan penentuan mengenai kesahihan, perlembagaan dan pemakaian berterusan undang-undang persekutuan berkaitan petroleum, terutamanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) serta dua lagi akta, iaitu Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
Ini bukan sekadar rayuan biasa. Petisyen ini menentang secara langsung keberterusan penggunaan undang-undang petroleum persekutuan di Sarawak, dengan alasan bahawa ia menjejaskan hak negeri terhadap sumber minyak dan gas di luar pesisir serta kuasa pelesenan.
Isi Petisyen
Menurut kenyataan rasmi kerajaan negeri, petisyen itu difailkan untuk:
- Mendapatkan penentuan Mahkamah Persekutuan tentang kesahan perlembagaan tiga akta petroleum utama persekutuan, termasuk PDA 1974.
- Menilai sama ada undang-undang tersebut terus terpakai terhadap Sarawak.
Konteks dan Kepentingan
- Isu ini semakin mendapat perhatian kerana ia dianggap sebagai langkah strategik Sarawak untuk menguji imbangan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, khususnya dalam hal hak terhadap hasil dan kawalan sumber petroleum.
- Perkara ini terus menjadi perdebatan, termasuk selepas Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa isu perlembagaan mengenai PDA 1974 perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, bukan diputuskan di peringkat rendah.
Media Antarabangsa
Artikel antarabangsa seperti Upstream Online juga melaporkan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Sarawak untuk mendapatkan lebih banyak kawalan terhadap sumber asli negeri dan memperhalusi peranan undang-undang federal berbanding hak negeri berturut-turut
Artikel Ditulis oleh : Anak Sabahan






