‘Diskriminasi’- Wanita seharusnya dibelai dan dimanjakan bukan dibebankan dengan pekerjaan

Fenomena burnout atau kelesuan melampau dalam kalangan wanita bekerjaya kini tidak lagi boleh dianggap sekadar isu tekanan emosi individu. Sebaliknya, ia semakin dilihat sebagai persoalan kesihatan awam dan hak asasi yang menuntut campur tangan dasar serta komitmen serius daripada negara.


Timbalan Pengerusi Persatuan Gabungan Wanita Kedah (WANIDA), Profesor Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan menegaskan bahawa kegagalan menangani isu ini secara sistemik boleh ditafsirkan sebagai pelanggaran terhadap komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), khususnya Artikel 11 yang menjamin hak wanita kepada perlindungan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.


Menurut beliau, tekanan kerja kronik bukan sekadar memenatkan secara mental, malah mempunyai implikasi fisiologi yang telah dibuktikan secara saintifik. Antaranya termasuk gangguan keseimbangan hormon, masalah kesuburan, ketidakteraturan kitaran haid serta peningkatan risiko komplikasi kehamilan dan gangguan kesihatan mental.


Diskriminasi tidak langsung dan ‘double standard’

Dr. Ummu Atiyah turut menyorot kewujudan gender double standard di tempat kerja yang boleh dikategorikan sebagai diskriminasi tidak langsung menurut piawaian CEDAW.


Beliau menjelaskan bahawa apabila wanita terpaksa bekerja dua kali lebih keras untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setara dengan lelaki, atau dinilai lebih ketat dalam proses kenaikan pangkat dan penilaian prestasi, keadaan itu mewujudkan ketidaksamaan struktur walaupun dasar organisasi kelihatan neutral secara formal.


Antara situasi yang sering berlaku ialah wanita dianggap kurang komited apabila mengambil cuti berkaitan penjagaan keluarga, sedangkan tindakan sama oleh lelaki jarang dipersoalkan. Dalam masa yang sama, wanita sering memikul tugas emosi dan pentadbiran tidak rasmi tanpa pengiktirafan, manakala kesilapan kecil mereka cenderung diperbesar sebagai kelemahan peribadi, berbeza dengan kesilapan lelaki yang dilihat sebagai kes terpencil.


Menurut beliau, konsep kesaksamaan substantif yang ditegaskan CEDAW bukan sekadar layanan sama rata, tetapi memastikan hasil yang adil. Jika struktur kerja secara konsisten menghasilkan kadar burnout lebih tinggi dalam kalangan wanita, ia boleh dianggap sebagai diskriminasi berasaskan struktur.


Keperluan cuti penjagaan mandatori

Sebagai langkah pembetulan, beliau mencadangkan pengenalan Cuti Penjagaan (Carer’s Leave) mandatori yang neutral gender untuk lelaki dan wanita.


Katanya, tanpa dasar sedemikian, beban penjagaan anak, ibu bapa uzur atau ahli keluarga sakit akan terus tertumpu kepada wanita. Beban penjagaan yang tidak seimbang ini menyumbang kepada tekanan mental berlapis, sekali gus menjadi antara punca utama burnout dalam kalangan wanita bekerja.


Beliau menegaskan bahawa cuti penjagaan bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi instrumen dasar bagi membetulkan ketidaksamaan struktur. Malah, langkah ini berpotensi menyokong sasaran kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60 peratus menjelang 2030.


Waktu kerja anjal dan diskriminasi halus

Mengulas isu waktu kerja anjal, beliau berpandangan bahawa kegagalan menyediakan fleksibiliti walaupun sifat kerja mengizinkan boleh dianggap sebagai diskriminasi gender secara tidak langsung.

Walaupun pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 telah memperkenalkan peruntukan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA), pelaksanaannya masih tidak menyeluruh. Sesetengah sektor dilihat enggan menawarkan fleksibiliti walaupun tiada kekangan operasi yang signifikan.


Situasi ini, jelasnya, meletakkan wanita pada kedudukan lebih terdedah untuk tersisih daripada pasaran kerja, terbantut dalam kenaikan pangkat dan kurang peluang menyertai latihan serta jawatan kepimpinan.


Keperluan Akta Kesaksamaan Gender

Sebagai penyelesaian jangka panjang, beliau mencadangkan penggubalan Akta Kesaksamaan Gender sebagai kerangka undang-undang komprehensif.

Walaupun Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang sektoral seperti Akta Kerja dan Akta Keganasan Rumah Tangga, tiada satu pun yang menangani diskriminasi gender secara menyeluruh dan bersepadu.


Menurutnya, Akta Kesaksamaan Gender berpotensi menjadi kerangka payung yang menyatukan prinsip kesaksamaan, menjadi rujukan kepada semua undang-undang berkaitan serta mengelakkan fragmentasi dasar. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja mampu mengurangkan burnout sebagai norma dalam kalangan wanita bekerja, malah meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan dan menyumbang kepada pembangunan negara secara lebih inklusif.


Sumber : muslimah