
Keputusan kerajaan Sabah menaikkan tarif elektrik mengundang kritikan keras apabila isu gangguan bekalan masih belum diselesaikan sepenuhnya. Parti Warisan menyifatkan langkah itu sebagai tidak wajar dan membebankan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, alasan kerajaan bahawa kenaikan tarif elektrik itu “tidak dapat dielakkan” dan kononnya memberi kesan minimum adalah sukar diterima.
Menurut beliau, apabila perkhidmatan asas seperti elektrik masih kerap terganggu, rakyat tidak sepatutnya dipaksa membayar lebih.
“Apabila perkhidmatan asas gagal berfungsi dengan baik, rakyat tidak seharusnya diminta membayar lebih,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih membimbangkan, kata Shafie, kesan kenaikan tarif bukan hanya dirasai oleh pengguna rumah, tetapi turut memberi impak besar kepada ekonomi negeri.
Ia dijangka meningkatkan kos operasi perniagaan, mendorong kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, menekan peniaga kecil serta mengurangkan kuasa beli rakyat Sabah secara keseluruhan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar telah menangani punca sebenar masalah bekalan elektrik sebelum memindahkan beban kos kepada pengguna.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu menegaskan Sabah masih terlalu bergantung kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), dengan banyak perjanjian lama yang didakwa merugikan negeri.
“Perjanjian ini wajar disemak semula supaya Sabah tidak terus menanggung kos yang lebih tinggi daripada sepatutnya,” tegasnya.
Susulan itu, Warisan menggesa kerajaan negeri supaya lebih telus dalam menjelaskan asas pengiraan tarif baharu, menyemak semula perjanjian IPP serta memperbaiki kecekapan dan pengurusan Sabah Electricity (SE).
“Elektrik adalah keperluan asas. Rakyat Sabah tidak seharusnya dipaksa membayar lebih selagi masalah bekalan masih berlarutan,” katanya lagi.
Untuk rekod, tarif elektrik baharu bagi Sabah dan Labuan mula dikuatkuasakan pada 1 Februari lalu, dengan kadar purata tarif asas meningkat kepada 39.70 sen setiap kilowatt jam (kWj), berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.
Isu ini nyata mengundang persoalan besar: rakyat disuruh bayar lebih, tetapi masalah lama masih belum selesai?
Sumber : Sinar Harian






