
Kerajaan mengambil langkah tegas apabila warga asing tidak lagi dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi, bagi memastikan bantuan itu benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dengan punca kuasa Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut beliau, peruntukan undang-undang berkenaan akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Dengan adanya larangan ini, kami dapat memastikan subsidi yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada warganegara, dan tidak dibuka ruang kepada warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, berhubung cadangan mengintegrasikan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dengan pangkalan data bantuan lain.
Dalam perkembangan sama, Armizan memaklumkan bahawa KPDN kini dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mengintegrasikan platform MyKasih sebagai salah satu opsyen pembelian minyak masak paket bersubsidi.

“Mungkin selepas ini, pengguna hanya perlu mengimbas kad pengenalan untuk membeli minyak masak paket tanpa perlu menggunakan aplikasi eCOSS,” jelasnya.
Menurut beliau, kejayaan penggunaan MyKad dalam pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 menjadi rujukan utama KPDN bagi melaksanakan kaedah sama untuk pembelian minyak masak bersubsidi.
Mengulas keberkesanan sistem eCOSS, Armizan berkata sejak ia dilaksanakan pada Mei 2025, sebanyak 20,361,432 paket minyak masak bersubsidi telah direkodkan melalui sistem tersebut.
“Sekurang-kurangnya kini kami mempunyai data lengkap tentang siapa yang membeli minyak masak paket ini dalam kalangan warganegara. Hala tuju program juga dapat ditentukan berdasarkan keputusan berasaskan data,” katanya.
Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan mengekang ketirisan subsidi dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Sumber : BERNAMA






