
Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus menjadi perhatian dunia apabila Presiden AS, Donald Trump, meramalkan Tehran lebih cenderung untuk merundingkan perjanjian berbanding berdepan tindakan ketenteraan Washington.
Menurut laporan Harian Metro, Trump berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat Oval, Rumah Putih pada Jumaat.
“Saya boleh katakan ini, mereka (Iran) memang mahu membuat perjanjian,” kata Trump, seolah-olah memberi bayangan rundingan masih terbuka.
Apabila ditanya sama ada beliau telah menetapkan tarikh akhir kepada Iran untuk memasuki rundingan berkaitan program nuklear dan peluru berpandu, Trump mengesahkan perkara itu, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
“Ya, saya ada,” katanya ringkas.
Dalam masa sama, Trump mendedahkan bahawa armada tentera laut AS kini sedang bergerak ke arah Iran, sekali gus meningkatkan lagi kebimbangan mengenai kemungkinan konflik ketenteraan.

“Kami mempunyai armada yang besar, flotila, panggil apa sahaja yang anda mahu, menuju ke Iran sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Trump masih berharap jalan diplomasi dapat diambil.
“Semoga kita akan membuat perjanjian. Jika kita membuat perjanjian, itu bagus. Jika kita tidak, kita akan lihat apa yang berlaku,” ujarnya.
Menurut laporan Harian Metro lagi, Trump turut memetik keputusan Iran yang didakwa menghentikan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan sebagai petanda Tehran bersedia untuk berunding. Terdahulu, kumpulan hak asasi mendakwa lebih 6,000 penunjuk perasaan terbunuh dalam tindakan keras kerajaan Iran.
Di rantau Teluk pula, sekutu-sekutu Washington dilaporkan semakin bimbang bahawa sebarang serangan AS ke atas Iran boleh mencetuskan ketidakstabilan dan huru-hara ekonomi.
Seorang pegawai kanan Teluk yang berhubung dengan pentadbiran Trump berkata, AS dilihat berhati-hati dalam setiap langkah yang dirancang.
“Kami berharap apa sahaja yang berlaku, ia akan membawa kepada kestabilan. Hasil itu boleh dicapai jika rakyat Iran melakukan perkara yang betul,” katanya, enggan namanya didedahkan.
Sementara itu, ketua badan keselamatan tertinggi Iran, Ali Larijani, dilaporkan mengadakan pertemuan dengan sekutu Tehran, Presiden Rusia Vladimir Putin, di Moscow. Walaupun butiran perbincangan tidak didedahkan, Rusia menyatakan kesediaan untuk bertindak sebagai orang tengah antara Washington dan Tehran.
Namun Iran turut memberi amaran keras bahawa ia akan bertindak balas serta-merta sekiranya diserang, termasuk melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan, kapal serta sekutu AS, khususnya Israel.
Persoalan kini, adakah rundingan bakal berlaku… atau dunia bakal menyaksikan satu lagi konflik besar di Timur Tengah?
Sumber : Harian Metro






