
Bandung – Seramai 23 anggota Marin Indonesia tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan Cisarua, Bandung Barat, Jawa Barat pada Sabtu lalu, lapor Jakarta Globe.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Staf Tentera Laut Indonesia, Laksamana Muhammad Ali, yang memaklumkan bahawa setakat ini empat anggota Marin ditemui meninggal dunia, manakala 19 lagi masih dilaporkan hilang.

Pasukan penyelamat Indonesia giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Cisarua, Bandung Barat.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan baki anggota yang tertimbus.
“Anggota Marin tersebut berada di Cisarua untuk menjalani latihan sebagai persediaan sebelum ditugaskan ke kawasan sempadan Papua–Papua New Guinea,” katanya.
Muhammad Ali menjelaskan, hujan lebat yang berterusan hampir dua malam dipercayai menjadi punca utama kejadian tanah runtuh yang menimpa sebuah kampung berhampiran lokasi latihan.
“Kawasan itu dilanda hujan lebat hampir dua malam berturut-turut. Keadaan tersebut berkemungkinan mencetuskan tanah runtuh yang secara kebetulan menimpa kawasan di mana anggota kami sedang menjalani latihan,” jelasnya.

Operasi SAR dijalankan menggunakan dron, sensor haba dan anjing pengesan berikutan jentera berat belum dapat memasuki lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi SAR kini menggunakan dron, sensor haba serta unit anjing pengesan berikutan jentera berat masih belum dapat dibawa masuk ke lokasi kejadian disebabkan cuaca buruk dan laluan jalan yang sempit.
“Jentera berat belum boleh memasuki kawasan berkenaan kerana keadaan cuaca dan akses yang terhad,” katanya.
Sementara itu, jumlah keseluruhan korban akibat kejadian tanah runtuh tersebut meningkat kepada 34 orang setakat malam tadi, ketika pasukan penyelamat Indonesia giat meneruskan usaha mencari puluhan lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan lumpur dan runtuhan.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Bandung, Ade Dian Permana, dalam sidang media memaklumkan bahawa sembilan lagi mayat ditemui setakat jam 5 petang waktu tempatan semalam.
SUMBER : HARIAN METRO






