
KOTA KINABALU – Gempar! Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai terbesar dalam sejarah Sabah selepas merampas lebih tiga tan dadah bernilai kira-kira RM240 juta.
Operasi mega itu digerakkan menerusi dua misi bersepadu iaitu Op Coleoptera dan Op Bayu 2, diketuai oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Sabah serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Menurut Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, serbuan dilakukan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Sepanggar serta melibatkan operasi di Selangor hasil risikan rapi yang dijalankan sejak sekian lama.
Op Coleoptera: 6 Kontena Dirampas!
Menerusi Op Coleoptera, PDRM bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Lembaga Pelabuhan Malaysia menumpaskan sindiket antarabangsa yang dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu.
Sebanyak enam kontena dirampas di Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang, bersama penahanan lapan suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun.

Antara rampasan mengejutkan:
- 3,043.5 kg methamphetamine
- 102.5 kg ketamin
- 90 kg pil ekstasi
- 4 kg cecair vape disyaki mengandungi kokain
- 2.6 kg pil Erimin 5
Menurut beliau, jika dadah ini menembusi pasaran, ia berpotensi merosakkan kehidupan sehingga 16 juta individu!
Sindiket dipercayai menggunakan laluan laut merentasi Laut China Selatan dan menjadikan kontena logistik sebagai pusat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
Setakat ini:
- 4 suspek didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
- 1 suspek ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985
- 2 individu dijadikan saksi pendakwaan
- Harta bernilai RM1 juta disita termasuk beberapa kenderaan
Op Bayu 2: 101.7kg Syabu Dalam 4×4 Tanpa Nombor!
Dalam operasi berasingan, Op Bayu 2, JSJN Sabah menahan dua lelaki tempatan di sebuah parkir di Penampang pada 5 Februari lalu.
Lebih mencurigakan, mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda putih tanpa nombor pendaftaran!
Hasil pemeriksaan menemukan tiga kotak berisi 60 bungkusan dipercayai methamphetamine seberat 101.7 kg bernilai RM5.66 juta.
Siasatan lanjut membawa kepada lima lagi tangkapan dan beberapa serbuan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Jumlah keseluruhan rampasan Op Bayu 2:
- 111.3 kg syabu (RM5.66 juta)
- 419.62 kg serbuk ekstasi (RM62.94 juta)
- 6.787 kg pil ekstasi (RM1.02 juta)
- 71.03 gram ketamin
- 25.62 gram Eramin 5
Anggaran keseluruhan: RM69.65 juta.
PDRM Tegas, Tiada Kompromi!
Mohd Khalid menegaskan kejayaan ini membuktikan jenayah dadah adalah ancaman serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“PDRM tidak akan berkompromi dan akan terus memastikan rangkaian sindiket berbahaya seperti ini ditumpaskan sepenuhnya,” katanya.
Operasi besar-besaran ini sekali lagi menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah dadah demi menjaga keselamatan negara dan masa depan generasi akan datang.
Sumber : Harian Metro






